Siakap Keli
Kredit: Laman X Sudan Tribune

Pesawat Tentera Sudan Terhempas, 46 Orang Maut

Pesawat Tentera Sudan Terhempas, 46 Orang Maut

Sudan – 46 orang terbunuh apabila sebuah pesawat tentera milik Sudan terhempas di kawasan perumahan luar bandar Khartoum, lapor AFP.

Pesawat Antonov tersebut terhempas pada malam Selasa berdekatan salah satu pangkalan udara terbesar di Omdurman, Wadi Seidna.

Menurut jurucakap tentera, pesawat yang terhempas ketika berlepas itu mengorbankan dan mencederakan anggota tentera serta orang awam.

“Selepas pengiraan terakhir, didapati 46 nyawa terkorban dengan 10 lagi mengalami kecederaan,” maklum pejabat media kerajaan di wilayah Khartoum.

BACA: Microsoft Perkenal Cip Pengkomputeran Kuantum Pertama

Menurut saksi, letupan kuat kedengaran sebelum beberapa buah rumah musnah. Kejadian tersebut turut menyebabkan bekalan elektrik terputus di kawasan kejiranan.

Mangsa yang cedera termasuk kanak-kanak telah dikejarkan ke hospital berdekatan.

Menurut sumber tentera kepada AFP, kejadian dipercayai berpunca daripada kerosakan teknikal. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih lagi dijalankan.

Sementara itu, video yang memaparkan keadaan selepas pesawat itu terhempas tular di media sosial.

Orang ramai dilihat membantu mangsa-mangsa nahas tersebut. Mereka juga cuba memadamkan kebakaran yang berlaku selepas pesawat itu terhempas.

Nahas tersebut berlaku sehari selepas kumpulan separa tentera di negara itu mengaku bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Ilyushin buatan Rusia di Nyala, ibu kota Darfur Selatan.

Kumpulan itu berkata pesawat terbabit musnah bersama anak kapalnya.

Dalam pada itu, mereka juga telah menandatangani piagam dengan kumpulan politik dan bersenjata bersekutu di Nairobi, Kenya. Ia sekaligus membuka jalan kepada pembentukan kerajaan selari yang dikuasai pemberontak.

Untuk pengetahuan, perebutan kuasa di negara tersebut telah berlaku sejak April 2023 antara tentera dan kumpulan separa tentera.

Konflik kuasa itu juga telah meragut puluhan ribu nyawa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ia dianggap sebagai salah satu bencana kemanusiaan terburuk dalam sejarah dunia.

Pertempuran antara kedua-dua pihak itu telah memusnahkan Khartoum dan bandar-bandar utama lain. Impaknya, lebih 12 juta orang kehilangan tempat tinggal, berlakunya krisis kelaparan dan kelumpuhan infrastruktur kritikal.

BACA: Hujan Lebat Malam Ini Di 8 Negeri, 2 Wilayah

BACA: Subsidi Tiket Penerbangan Untuk Hari Raya Diteruskan – MOT

Sumber: AFP

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.