Growbiz Berjaya Bimbing 160 Usahawan Mikro Naik Taraf Perniagaan
KUALA LUMPUR, 27 Februari 2025 – Seramai 160 usahawan mikro dan kecil telah dibimbing untuk menaik taraf dan meningkatkan daya saing mereka menerusi penyertaan dalam Program GrowBiz. Majlis Graduasi Program GrowBiz 2024/2025 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee Bin Daud, Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang mewakili YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi hari ini.
GrowBiz merupakan inisiatif di bawah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) yang dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia, agensi di bawah KUSKOP. Program ini memberi bimbingan kepada usahawan dalam menaik taraf perniagaan mereka daripada perniagaan bersaiz mikro kepada kecil serta meningkatkan pengetahuan, kecekapan dan produktiviti perniagaan. Ia telah diperkenalkan pada tahun 2021/2022 dan graduan kali ini merupakan kumpulan ketiga dalam pelaksanaan Program GrowBiz.
YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee dalam ucapannya telah menyatakan bahawa peserta di bawah Program GrowBiz 2024/2025 bakal menjadi sebahagian usahawan yang akan dibimbing untuk dinaik taraf saiznya sejajar dengan hasrat KUSKOP dan Agensi memberikan tumpuan terhadap penskalaan PMKS khususnya bagi meningkatkan perusahaan bersaiz sederhana kepada 5% berbanding 1.8% ketika ini. Malah, ujar beliau lagi, dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, sasaran ini telah ditingkatkan kepada 10%.
YBhg. Dato’ Sri Khairul Dzaimee juga telah mengumumkan berita baik semasa ucapannya. Menurut beliau, “Peserta terbaik di bawah Program GrowBiz ini akan dijemput untuk menerima sijil daripada YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri dalam program yang akan diadakan di Tawau, Sabah pada bulan Mei 2025”.
Pada majlis yang sama, YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia turut berkongsi mengenai pencapaian dan impak Program GrowBiz 2024/2025. Beliau berkata, “Berdasarkan pemantauan selepas tamat menyertai Program GrowBiz, 152 peserta (94%) menunjukkan peningkatan jualan sehingga ada yang berjaya mencecah kenaikan 291%. Selain itu, 63% peserta telah berjaya menaik taraf perniagaan daripada mikro kepada kecil manakala 65% peserta menambah bilangan pekerja yang berjaya mewujudkan 281 pekerjaan baharu. Terdapat juga beberapa peserta yang berjaya mengeksport ke United Kingdom, Switzerland, Brunei, Dubai, China, Bangladesh, Vietnam, Ireland, Qatar, Thailand dan Singapura”.
GrowBiz menggunakan pendekatan bimbingan khusus (hand-holding) ke atas perusahaan mikro yang merangkumi elemen latihan, tunjuk ajar (coaching) dan pemantauan bagi membimbing perusahaan mikro meningkatkan perniagaan ke tahap seterusnya. GrowBiz kali ini yang dilaksanakan oleh dua (2) Rakan Pelaksana iaitu AverNoble Sdn. Bhd. untuk peserta dari Semenanjung Malaysia dan Celebrate TV Sdn. Bhd. untuk peserta dari Sabah dan Sarawak turut disokong oleh Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) sebagai Rakan Strategik.
Hadir sama, YBrs. Encik Rizal bin Dato’ Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Coach Anusia Ramasamy, Ketua Pegawai Eksekutif AverNoble Sdn. Bhd. dan Puan Nazura Zahian binti Rahime, Ketua Pegawai Eksekutif Celebrate TV Sdn. Bhd.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program GrowBiz, sila layari laman sesawang, www.smecorp.gov.my.