Siakap Keli
Dari Sunway Pyramid Ke Seluruh Negara - Ultraman The Ultra Tour Bermula Dengan Cipta Sejarah
Gambar Hiasan

Dari Sunway Pyramid Ke Seluruh Negara – Ultraman The Ultra Tour Bermula Dengan Cipta Sejarah

Dari Sunway Pyramid Ke Seluruh Negara – Ultraman The Ultra Tour Bermula Dengan Cipta Sejarah

PETALING JAYA, 27 FEBRUARI 2025 Peminat Ultraman di Malaysia disajikan dengan pengalaman luar biasa apabila Ultraman The Ultra Tour secara rasmi dilancarkan di pusat beli-belah Sunway Pyramid hari ini. Acara yang dinanti-nantikan ini merupakan kerjasama antara Tsuburaya Fields Entertainment International Pte. Ltd. (TFEI), One Universal Production Sdn. Bhd. (OUP), dan Sunway Malls, menghimpunkan peminat dari pelbagai generasi untuk meraikan wira ikonik ini melalui pelbagai aktiviti menarik dan pengalaman interaktif.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Dato’ Kamil Othman, dengan kehadiran wakil dari pelbagai agensi kerajaan serta Kedutaan Jepun, menekankan kepentingan kolaborasi ini dalam memperkukuh hubungan budaya dan hiburan antara Malaysia dan Jepun.

“Kerjasama ini bukan sahaja mengangkat warisan Ultraman di Malaysia, tetapi juga menunjukkan kepentingan kolaborasi antarabangsa dalam memperluaskan impak dan jangkauan kandungan kreatif,” kata Kamil. “Hak intelek seperti Ultraman telah membentuk budaya pop global, dan pelancaran jelajah ini membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi destinasi yang menarik untuk perkongsian sebegini.”

Salah satu detik kemuncak majlis tersebut menyaksikan OUP menerima pengiktirafan rasmi daripada ASEAN Records selepas berjaya menghimpunkan 270 orang peminat Ultraman dalam pakaian bertemakan Ultraman – perhimpunan terbesar seumpamanya di Malaysia. Acara dimeriahkan lagi dengan kemunculan istimewa Yuki Totsuka, pelakon Jepun yang membawa watak Yuma Hize/Ultraman Arc, yang meluangkan masa bertemu peminat dalam sesi eksklusif ramah mesra.

“Ultraman telah menjadi sebahagian daripada zaman kanak-kanak kebanyakan rakyat Malaysia, dan untuk melihat tahap kepopuleran wira ini yang terus berkembang merupakan sesuatu yang mengagumkan,” kata Alvin Lee, Ketua Pegawai Eksekutif One Universal Production Sdn. Bhd. (OUP). “Membawa Ultraman The Ultra Tour ke Malaysia adalah projek yang istimewa buat kami. Kerjasama ini merupakan satu usaha kita untuk mencipta kenangan yang bermakna bagi peminat pelbagai peringkat umur, sambil mengukuhkan hubungan budaya antara Malaysia dan Jepun,” tambahnya.

Ultra Tour ini akan membawa peminat dalam perjalanan penuh aksi merentasi tujuh pusat beli-belah Sunway, menampilkan sesi ramah mesra bersama Ultra Heroes, Inflatable Playland bertemakan Ultraman, aktiviti menarik seperti demonstrasi permainan Gigabash, serta pelbagai barangan eksklusif Ultraman. Selepas Sunway Pyramid, jelajah ini akan diteruskan ke:

  • Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur
  • Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya, Pulau Pinang
  • Sunway 163 Mall, Mont Kiara, Kuala Lumpur
  • Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur
  • Sunway Big Box Retail Park, Iskandar Puteri, Johor
  • Sunway Kluang Mall, Kluang, Johor

Kerjasama ini turut merangkumi strategi pemasaran dan penjenamaan bagi memperkukuh kehadiran Ultraman di Malaysia. Kempen promosi bersama akan dijalankan merentasi platform digital dan fizikal, termasuk dalam ekosistem runcit dan hiburan Sunway yang luas. Peminat juga boleh mendapatkan pelbagai barangan eksklusif Ultraman seperti pakaian, permainan, koleksi istimewa, dan item edisi terhad di pusat-pusat beli-belah Sunway.

Selain aspek runcit, pengalaman imersif turut ditawarkan menerusi aktiviti Ultra Tour, termasuk sesi ramah mesra dan pelbagai aktiviti bertema. Terdapat juga potensi pengembangan kerjasama melalui peruncitan dan pelesenan dengan jenama serta pihak ketiga bagi memperkukuhkan pengaruh Ultraman di Malaysia.

Majlis pelancaran tersebut bukan sekadar hiburan semata-mata malah acara ini turut menzahirkan semangat Ramadan dengan menyantuni golongan yang memerlukan. Dua rumah kebajikan, iaitu Pertubuhan Kebajikan Rumah Pengasih Warga Prihatin dan Persatuan Kebajikan Pusat Jagaan Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, menerima sumbangan bagi membantu persiapan menjelang bulan suci ini. Sumbangan ini bertujuan menyediakan keperluan asas, makanan, serta kelengkapan perayaan agar kanak-kanak di rumah kebajikan tersebut dapat menyambut Ramadan dengan lebih bermakna. Wakil-wakil rumah kebajikan berkenaan menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan kemurahan hati penganjur serta rakan kongsi acara. Langkah ini mencerminkan nilai kasih sayang dan perpaduan yang dibawa oleh Ultraman, selaras dengan matlamat penganjur untuk memberi impak positif kepada masyarakat di samping menawarkan hiburan yang berkualiti.

Susulan pelancarannya, Ultraman The Ultra Tour menjanjikan pengembaraan yang penuh keterujaan buat peminat di seluruh Malaysia, menggabungkan nostalgia, hiburan, dan semangat kemasyarakatan dalam satu perayaan unik untuk salah satu ikon budaya pop paling digemari dari Jepun.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.