Siakap Keli
Jabatan Digital Negara Luncur Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam
Gambar Hiasan

Jabatan Digital Negara Luncur Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam

Jabatan Digital Negara Luncur Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam

PUTRAJAYA, 27 Februari 2025 – Jabatan Digital Negara (JDN), jabatan di bawah Kementerian Digital telah menganjurkan Majlis Peluncuran Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan  Buatan (AI) Sektor Awam yang berlangsung dengan jayanya pada (Khamis) bertempat di Hotel Le Meridien, Putrajaya. 

Garis Panduan Pengadaptasian Kecerdasan Buatan (AI) Sektor Awam ini telah  dibangunkan oleh JDN dengan kerjasama Malaysia Digital Economy Corporation  (MDEC) sebagai satu rujukan khusus bagi sektor awam dalam memastikan  pembudayaan dan penggunaan AI diterapkan dengan lebih bertanggungjawab dan  beretika, serta menggalakkan kecekapan dan keberkesanan teknologi serta inovasi  AI. 

YB Menteri, Tuan Gobind Singh Deo telah merasmikan sesi peluncuran yang disaksikan oleh para jemputan dalam kalangan Ketua Setiausaha Kementerian,  Setiausaha Kerajaan Negeri, Ketua Jabatan, Ketua Pegawai Digital (CDO), Pengurus  ICT Sektor Awam dan rakan industri. Majlis turut disempurnakan dengan sesi  penyerahan dokumen Garis Panduan Pengadaptasian AI Sektor Awam daripada  Ketua Pengarah JDN iaitu YBrs. Ts. Dr. Fazidah binti Abu Bakar kepada Timbalan  Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) iaitu Yang Bhg. Dato’ Mohd Shaiful  bin Ibrahim. Sesi Perkongsian Use Case AI di Sektor Awam serta Forum Etika dan  Tadbir Urus AI Sektor Awam turut diadakan manakala keseluruhan acara telah  disiarkan kepada umum melalui penstriman langsung di laman sosial rasmi JDN.

Garis panduan setebal 158 muka surat ini dibangunkan oleh Bahagian Perundingan  Digital JDN, mengandungi enam (6) bab dan tiga (3) lampiran serta boleh diakses  secara maya di portal rasmi https://www.jdn.gov.my. Garis panduan ini mengandungi penerangan tentang pengenalan AI, prinsip etika yang perlu dipatuhi, peranan dan  tanggungjawab aktor, pengurusan risiko, kaedah pengadaptasian dan templat  penilaian kendiri untuk agensi mengenal pasti skop serta impak AI di agensi sektor  awam. 

Sebagai kesinambungan daripada pelaksanaan garis panduan ini, satu seminar AI  sektor awam akan diadakan di peringkat kebangsaan sekitar bulan Ogos 2025. 

Penghasilan garis panduan ini merupakan antara inisiatif JDN untuk mendukung nilai  teras Malaysia MADANI iaitu melalui pembaharuan dan pengupayaan modal insan  bagi menjelmakan daya cipta manusia khusus dalam ekosistem perkhidmatan awam. Ia juga selari dengan slogan Kepengerusian ASEAN 2025, “Keterangkuman dan  Kemampanan” yang dizahirkan menerusi tema Kementerian Digital iaitu “Memajukan  Masa Depan Digital Yang Dikongsi Bersama”.  

JDN kekal fokus kepada penyelesaian digital untuk meningkatkan kebolehcapaian,  kecekapan dan ketelusan perkhidmatan kerajaan melalui pemanfaatan AI, Internet  of Things, analisis data dan keselamatan siber. Ini turut membuktikan komitmen JDN  dalam memacu transformasi pendigitalan sektor awam terutama dalam bidang AI 

selaras dengan visi “Kerajaan Digital Mampan, Pemangkin Negara Digital” menerusi  pembangunan ekosistem AI sektor awam yang inovatif, inklusif dan mesra rakyat. 

Ketua Pengarah JDN, YBrs. Ts. Dr. Fazidah binti Abu Bakar turut mengalu-alukan  kehadiran tetamu kehormat iaitu Ketua Setiausaha Kementerian Digital, YBhg. Tuan  Fabian Bigar dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC YBrs. Tuan Anuar Fariz Fadzil. 

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.