Kemuncak Tujuh Planet Sejajar Bermula Malam Ini
Amerika Syarikat – Orang ramai berpeluang untuk menyaksikan penjajaran tujuh planet di langit buat kali terakhir pada hujung minggu ini, lapor NBC News.
Biarpun fenomena ini telah dapat dilihat sejak awal minggu ini, menurut NBC News, Jumaat merupakan waktu terbaik untuk menyaksikan ketujuh-tujuh planet tersebut. Hal ini berikutan kemunculan planet Utarid yang paling terang di atas titik horizon.
Dengan keadaan persekitaran yang baik, lima daripada tujuh planet tersebut dapat dilihat dengan menggunakan mata kasar. Manakala dua lagi, iaitu Uranus dan Neptun hanya dapat dilihat dengan menggunakan teleskop.
Namun begitu, planet Utarid dan Zuhal akan menjadi semakin kabur dan berada di titik rendah di bawah horizon menjelang Sabtu.
Sebagai pengetahuan, fenomena penjajaran planet berlaku apabila beberapa planet muncul serentak di langit, membentuk seperti sebuah gerbang. Biarpun fenomena ini bukan sesuatu yang aneh, namun kemunculan tujuh planet serentak merupakan fenomena yang jarang berlaku.
‘Perbarisan’ ini berlaku apabila planet mengelilingi matahari pada satah berbentuk cakera yang rata.
Menurut NASA, orang ramai bakal dapat menyaksikan sekali lagi fenomena ini dengan kemunculan empat planet serentak di langit pada bulan Ogos tahun ini. Walau bagaimanapun, peluang untuk menyaksikan penjajaran planet seterusnya hanya pada Oktober 2028 dengan kemunculan lima planet di langit.
Pengarah planetarium di Pusat Sains Liberty, New Jersey menyarankan orang ramai untuk memandang ke langit sejurus selepas matahari terbenam bagi melihat Utarid dan Zuhal. Kedua planet ini dapat dilihat dengan menggunakan binokular di langit berdekatan tempat matahari terbenam.
“Anda masih boleh melihat Zuhrah yang muncul dengan terang di langit selatan. Jauh di atas kepala pula, anda dapat melihat Musytari yang bersinar terang dari mana-mana planet di langit, sama seperti Zuhrah. Kemudian, planet Marikh muncul dengan terang di langit timur sekarang,” jelas beliau.
BACA: Lebih 50 Maut Akibat Penyakit Misteri Di Congo
BACA: Fenomena 6 Planet ‘Berbaris’ Dapat Dilihat Januari-Februari Ini
Sumber: NBC News