Lebih 50 Maut Akibat Penyakit Misteri Di Congo
Sekurang-kurangnya 53 kematian dilaporkan berlaku akibat penyakit misteri yang menular di Republik Demokratik Congo, lapor CBS News.
Sekurang-kurangnya 431 kes telah dilaporkan dari dua perkampungan di wilayah utara Congo, menurut laporan pejabat Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) di Afrika pada 16 Februari.
Siasatan awal mendapati penularan pertama yang berlaku melibatkan tiga orang kanak-kanak meninggal dunia. Menurut laporan, mangsa tidak sihat selepas memakan bangkai seekor kelawar.
Penyumbang perubatan CBS News dan editor-at-large kesihatan awam di KFF Health News, Dr Celine Gounder berkata, kelawar mampu membawa pelbagai penyakit berjangkit termasuk Ebola dan koronavirus.
Setakat yang diketahui, kluster pertama jangkitan ini melibatkan 12 kes dan lapan kematian. Kluster kedua pula dilapor menyebabkan 419 kes jangkitan dengan jumlah kematian meningkat kepada 45 kes.
Menurut Gounder, punca kedua-dua kluster ini masih belum diketahui sama ada berkaitan atau tidak.
Dalam pada itu, Pengarah Perubatan Hospital Bikoro, Serge Ngalebato berkata, keadaan ini lebih membimbangkan apabila jarak antara permulaan simptom dan kematian hanya mengambil masa 48 jam sahaja dalam kebanyakan kes.
Biarpun penyebaran pertama dikesan berpunca daripada kanak-kanak yang memakan bangkai kelawar, namun punca sebenar kepada penularan penyakit tersebut masih belum diketahui. Menurut WHO lagi, ini kerana kemungkinan terdapat punca yang berbeza disebabkan kedua-dua kluster tersebut tidak dapat dipastikan perkaitannya.
Setakat ini, ujian yang dilakukan terhadap kedua-dua kluster mengeluarkan keputusan negatif bagi Ebola dan Marburg.
“Kesemua ujian yang kami lakukan beri keputusan positif kepada malaria. Jadi ia agak meyakinkan jika kejadian ini merupakan wabak malaria. Namun persoalannya, mengapa mangsa jatuh sakit dan meninggal dunia sepantas ini?” soal Gounder.
Susulan itu, WHO memaklumkan ujian dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca penyakit dan kematian yang berlaku.
Tambah Gounder, individu yang dijangkiti berkemungkinan meninggal dunia akibat sepsis. Ia berlaku apabila jangkitan tersebut mengakibatkan tindak balas keradangan dalam darah.
“Anda tidak mampu untuk mengawal tekanan darah dan organ-organ anda mula gagal berfungsi. Dengan semua jangkitan yang berbeza ini, keadaan itu merupakan peringkat terakhir dan mengakibatkan kematian,” jelasnya.
BACA: Tikus Jengah Padang Old Trafford Sebelum Perlawanan Man United
Sumber: CBS News