Siakap Keli
Memperkasa Peranan Jurutera Daerah Dan Jajahan Sebagai Tunjang Gerak Kerja Hala Tuju Kementerian Kerja Raya
Sumber: Bernama

Memperkasa Peranan Jurutera Daerah Dan Jajahan Sebagai Tunjang Gerak Kerja Hala Tuju Kementerian Kerja Raya

Memperkasa Peranan Jurutera Daerah Dan Jajahan Sebagai Tunjang Gerak Kerja Hala Tuju Kementerian Kerja Raya

KUALA LUMPUR – Sesi Amanat dan Dialog Menteri Kerja Raya bersama Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia 2025 telah diadakan pada hari ini. Sesi Amanat dan Dialog pada kali ini diadakan dengan objektif untuk memperkasa lagi peranan Jurutera Daerah dan Jajahan. Pada masa yang sama, sesi ini dapat memastikan Jurutera di peringkat daerah lebih memahami dan menghayati secara lebih inklusif aspirasi Menteri dan hala tuju Kementerian.

2. Seramai 85 Jurutera Daerah JKR Malaysia dari 11 buah negeri telah hadir dalam Sesi Amanat dan Dialog ini. Selaras dengan pendekatan Kerajaan MADANI yang menerapkan pendekatan Whole of Government, pelaksanaan Sesi Amanat dan Dialog ini membuka ruang dan peluang untuk komunikasi dua hala, Top-Down dan Bottom-Up bagi meningkatkan lagi kualiti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan serta memacu pencapaian matlamat SIFAR PROJEK SAKIT.

3. Sebelum ini, YBhg Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya pada 19 Februari 2025 turut mengambil peluang dalam Program KKR Speaker Series Bilangan 1 Tahun 2025 untuk berinteraksi dengan Jurutera Daerah JKR Malaysia bagi menyampai aspirasi dan hala tuju KKR secara lebih bersasar. Dalam sesi tersebut, KSU turut berkongsi kandungan buku “21 Great Ways to Stop Proscrastinating and Get More Done in Less Time “, tulisan Brian Tracy.

4. Dalam Sesi Amanat dan Dialog Menteri Kerja Raya bersama Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia pada kali ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut menyampaikan pengiktirafan kepada Pasukan Endokarpa iaitu Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) dari JKR Daerah Bagan Datuk atas kejayaan menjadi finalis program INNOVATHON. Program INNOVATHON merupakan program realiti TV anjuran Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertujuan untuk mengarus perdana budaya inovasi dan mengembangkan idea inovatif menjadi produk komersial.

5. Pasukan Endokarpa telah menghasilkan satu produk inovasi yang dipanggil “4Mix”, produk tampalan jalan yang memiliki ciri-ciri mesra alam. Produk ini dihasilkan daripada campuran milling waste iaitu bahan premix yang dipotong semasa kerja-kerja milling dan sebatian polimer, lebih ekonomik dengan penjimatan kos sebanyak 50 peratus, mempunyai daya ketahanan lebih daripada 12 bulan, berkeupayaan menangani isu kerosakan jalan berlubang berulang dan mempercepatkan lagi kerja-kerja tampalan jalan iaitu 12 lokasi tampalan dalam tempoh 1 jam berbanding 6 lokasi
tampalan sebelumnya.

6. Dalam Sesi Amanat dan Dialog ini juga, pasukan pemasangan Jambatan Bailey atau Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) turut diberi pengiktirafan kerana berjaya memasang enam (6) JPKB bagi menghubung semula laluan terputus atau menggantikan struktur jambatan yang runtuh akibat bencana alam seperti banjir, tanah runtuh sewaktu musim Monsun Timur Laut sepanjang tahun 2024. JPKB adalah sejenis jambatan keluli siap dibina, mudah alih dengan konsep pasang siap dan berupaya menanggung beban tinggi setara dengan jambatan konvensional.

7. Enam (6) lokasi yang terlibat dengan pemasangan JPKB sepanjang tahun 2024 adalah seperti berikut:

(a) Jalan Kuantan ke Segamat, Pahang (FT12 Seksyen 106) oleh pasukan JKR Daerah Temerloh, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Negeri Pahang dan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal Pahang Barat;
(b) Jalan Sungai Lalang, Hulu Langat, Selangor (Laluan B19 KM9.6) oleh pasukan JKR Daerah Petaling dan JKR Daerah Hulu Langat;
(c) Jalan Modirono, Pontian, Johor (Jalan Negeri J19) oleh pasukan JKR Daerah Johor Bharu, JKR Daerah Petaling, JKR Daerah Temerloh, JKR Daerah Pontian dan JKR Negeri Johor;
(d) Jambatan Sungai Bil Ulu Slim, Slim River, Perak oleh pasukan JKR Daerah Kinta dan JKR Negeri Kedah;
(e) Jalan Kg. Sg. Sam, Jeli, Kelantan (FT006 Seksyen 75.85) oleh pasukan JKR Jajahan Machang , JKR Daerah Temerloh dan JKR Daerah Kinta, dan
(f) Jalan Pantai – Bandar Melaka, Melaka Tangah, Melaka (FT192) oleh pasukan JKR Daerah Petaling, JKR Daerah Melaka Tengah dan JKR Negeri Melaka.

8. Setakat ini, KKR memiliki tujuh (7) stor aset JPKB di tujuh (7) negeri sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk dioptimumkan sekiranya berlaku bencana dan kerja-kerja pemasangan JPKB dilakukan oleh pasukan pemasang struktur JPKB yang kompeten dan berpengalaman.

9. KKR sentiasa menghargai peranan pasukan pemasang struktur JPKB dan semua pihak yang bertugas di lapangan terutamanya tenaga pakar teknikal yang terus komited untuk memastikan akses laluan jalan yang baik demi kesejahteraan rakyat.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.