Siakap Keli
ppz maiwp rhb islamic bank

PPZ-MAIWP & RHB Islamic Bank Berhad Perkukuh Kerjasama Erat Untuk Tahun 2025

PPZ-MAIWP & RHB Islamic Bank Berhad Perkukuh Kerjasama Erat Untuk Tahun 2025

KUALA LUMPUR, 26 FEBRUARI 2025: Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menerima bayaran zakat korporat daripada RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic) bagi tahun 2025 berjumlah RM4 juta pada Majlis Penyerahan Zakat Korporat dan Penyampaian Hadiah Kempen Semarak Zakat 2024 di Ibu Pejabat RHB, Kuala Lumpur.

Penyerahan zakat tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali kepada Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia PPZ-MAIWP, Tuan Haji Azrin Dato’ Haji Abdul Manan.

Jumlah bayaran zakat perniagaan ini meningkat sebanyak RM1 juta berbanding tahun lalu, sekaligus membuktikan komitmen RHB Islamic dalam menyokong usaha memperkasakan institusi zakat dan secara tidak langsung membantu MAIWP menampung keperluan asnaf yang semakin bertambah di Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, lebih daripada 100 kakitangan Kumpulan ini telah menjadi pembayar zakat baharu dan 80 orang menambah potongan zakat mereka menerusi Kempen Semarak Zakat 2024.

ppz maiwp rhb islamic bank
Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Dato’ Adissadikin Ali menyerahkan Zakat Perniagaan RHB Islamic kepada Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia PPZ-MAIWP, Tuan Haji Azrin Dato’ Haji Abdul Manan. – Dari kiri: Ketua Kumpulan Perunding Syariah RHB Islamic, Ahmad Mukarrami Ab Mumin, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Dato’ Adissadikin Ali, Pengurus Besar Kanan Sumber Manusia PPZ-MAIWP, Tuan Haji Azrin Dato’ Haji Abdul Manan, Pengurus Besar Operasi Luar PPZ-MAIWP, Fahmi Ismail.

Kempen ini diadakan dengan tujuan utama untuk meningkatkan kesedaran berzakat dalam kalangan kakitangan RHB Islamic Bank melalui Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB).

Kolaborasi di antara PPZ-MAIWP dan RHB Islamic diperkukuhkan lagi pada tahun ini dengan Program Pakej Istimewa Pelanggan Mewah RHB 2025, yang merupakan kesinambungan kepada Kempen Pelanggan Mewah RHB tahun lalu.

Menerusi program ini, mereka berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan istimewa seperti konsultasi zakat, kaunter zakat bergerak dan pakej-pakej agihan MAIWP. Malahan untuk para pelanggan mewah RHB yang memperoleh Wakalah Individu, jumlah dana akan disatukan untuk diagihkan kepada masyarakat dengan lebih kondusif dan menyeluruh dalam pelbagai bentuk program.

“Kami berharap zakat korporat ini dapat membantu meringankan beban golongan asnaf serta menyokong usaha PPZ-MAIWP dalam memperkasa kemaslahatan umat Islam di Malaysia. Selain itu, kami percaya ia juga dapat menyumbang kepada kemapanan sosial melalui sistem agihan zakat yang lebih sistematik dan efektif.

“RHB Islamic komited untuk terus memperkukuh ekosistem kewangan sosial Islam, selaras dengan agenda Value-Based Intermediation (VBI). Kami yakin bahawa melalui kerjasama erat antara institusi kewangan Islam dan badan zakat, kita dapat mewujudkan impak sosial yang lebih besar, berkesan, dan lestari,” kata Dato’ Adissadikin Ali, Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif, RHB Islamic Bank Berhad.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: