Program Literasi Kewangan Gogiggers 2024 Ubah Hidup Rakan Rider Foodpanda
KUALA LUMPUR 28 Februari 2025 – Fasa pertama Program Literasi Kewangan GoGiggers 2024 melabuhkan tirai dengan majlis penutup yang dianjurkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK). Majlis ini dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, Pengarah Operasi Delivery Hero Malaysia Sdn. Bhd. (foodpanda), Shubham Saran, dan Ketua Eksekutif Bank Simpanan Nasional (BSN), Jay Khairil Jeremy.
Dilancarkan pada 6 September 2024, program berimpak tinggi yang bermula pada Julai 2024 ini telah berjaya mengumpulkan lebih 100 rakan rider foodpanda. Program ini memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan dalam komuniti gig, khususnya rakan rider foodpanda.
Dalam ucaptamanya, Nor Fazleen Zakaria, Pengurus Besar Bahagian Pendidikan dan Jangkauan Masyarakat AKPK, menyatakan, “Kami melihat setiap pekerja gig sebagai tulang belakang ekonomi moden — gigih berusaha demi menjamin kehidupan keluarga yang lebih baik. Namun, seperti mana pekerja lain di Malaysia yang menyumbang kepada ekonomi negara, mereka turut berdepan dengan cabaran utama seperti ketidaktentuan pendapatan, simpanan yang kadangkala tidak mencukupi, dan perlindungan kewangan yang terhad.
Hasil penilaian keberkesanan program yang dijalankan dalam kalangan peserta GoGiggers telah menunjukkan peningkatan dari segi kesejahteraan kewangan sebanyak 34.4%, manakala pengetahuan kewangan meningkat sebanyak 13.1%. Peningkatan positif dari segi tingkah laku kewangan pula adalah sebanyak 18.5%. Ini membuktikan nilai impak Program Literasi Kewangan GoGiggers dalam memperkasakan rakan rider foodpanda.
Keberhasilan program kerjasama strategik antara AKPK dengan foodpanda yang turut disokong oleh BSN ini terbukti berjaya menggerakkan lebih daripada 74% rakan rider foodpanda untuk membina tabungan kecemasan masing-masing.
Melalui bimbingan khusus dan bahan-bahan praktikal untuk tindakan peserta, program ini membantu rakan rider foodpanda untuk mengasingkan sebahagian daripada pendapatan mereka untuk disimpan sebagai dana kecemasan. Perkembangan simpanan mereka dipantau oleh AKPK dan BSN sehingga kini.
Laporan BSN menunjukkan jumlah simpanan GIRO yang terkumpul melebihi RM68,000 manakala pelaburan SSP pula mencecah lebih RM40,000. Pencapaian ini membuktikan kejayaan program dalam meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan peserta GOGIGGERS.
Selain itu, mereka juga didedahkan dengan kepentingan mendaftar seterusnya membuat caruman sukarela ke dalam akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai sebahagian daripada pelan perancangan persaraan.
Mereka turut didedahkan kepada skim perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta platform lain sebagai pencerahan mengenai langkah-langkah perlindungan kewangan yang perlu diambil.
Salah seorang peserta GOGIGGERS, Encik Mohd Saiful bin Samion, berkongsi pengalamannya, “Sebelum menyertai program GoGiggers ini, saya sering menghadapi kesukaran dalam menguruskan wang. Program ini telah membuka minda saya, memberikan ilmu untuk saya mengurus kewangan dengan lebih baik. Alhamdulillah, kini saya sudah mula mempunyai tabungan kecemasan dan merasa lebih yakin dengan masa depan saya dan isteri.”
Para peserta program yang hadir bersama keluarga turut diraikan dalam majlis penutup ini, di samping mengiktiraf kerjasama serta sokongan daripada semua pihak yang terlibat. Program ini melakar tanda aras baharu dalam usaha berterusan AKPK untuk memperkasakan segenap lapisan masyarakat melalui literasi kewangan.