Siakap Keli
program ramadan & syawal

TV AlHijrah Terus Perkasa Penyiaran Islam Melalui Program Ramadan & Syawal 1446H/2025

TV AlHijrah Terus Perkasa Penyiaran Islam Melalui Program Ramadan & Syawal 1446H/2025

KUALA LUMPUR, 27 Februari 2025 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Bin Haji Mokhtar hari ini merasmikan Pelancaran Program Ramadan & Syawal 1446H/2025 TV AlHijrah dalam sebuah majlis yang penuh bermakna. 

Pelancaran ini turut dihadiri oleh Pengerusi TV AlHijrah, Mohd Khair Bin Ngadiron, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Bin Harris, barisan kepimpinan TV AlHijrah, para asatizah dan personaliti serta wakil Persatuan Kebajikan OKU Pendengaran KL Selangor (PKOPKS) dan Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA).

Dengan tema “Ramadan: Merindui Taubat Hamba-Nya, Syawal: Istiqamah Cahaya Ketakwaan”, TV AlHijrah terus komited untuk menyajikan program-program berkualiti tinggi yang mampu membimbing masyarakat dalam menelusuri Ramadan dan Syawal dengan lebih bermakna.

Dalam ucapannya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (HEA) menegaskan bahawa TV AlHijrah merupakan medan dakwah yang berperanan penting dalam memperkukuh kefahaman Islam di Malaysia.

program ramadan & syawal

“TV AlHijrah bukan sekadar sebuah stesen penyiaran, tetapi ia juga sebagai sebuah universiti mendidik masyarakat dengan ilmu-ilmu Islami serta menyiarkan berita-berita hal ehwal semasa dalam dan luar negara dengan tepat dan sahih,” katanya.

Seiring dengan semangat ini, beliau menegaskan bahawa TV AlHijrah memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan kefahaman Islam melalui pendekatan media yang lebih kreatif dan moden.

“Melalui penyiaran Islam yang progresif dan interaktif, TV AlHijrah berupaya memastikan Islam terus mekar dan berkembang seiring dengan perubahan zaman. Kita mahu penyampaian dakwah ini bukan sahaja relevan dengan perkembangan teknologi, tetapi juga mampu menyentuh hati dan jiwa penonton,” tambahnya.

“Dalam realiti semasa ledakan media sosial termasuk Artificial Intelligence (A.I), TV AlHijrah perlu melipatgandakan usaha untuk menghasilkan produk yang benar-benar mampu memikat rakyat agar terus kekal setia menonton TV Al-Hijrah. Ini kerana rakyat yakin kandungan penyiaran yang ditawarkan benar-benar ilmiah, menambah ilmu pengetahuan serta sahih. Ini adalah kekuatan yang mesti diperteguhkan oleh TV AlHijrah,” tambahnya.

Dalam majlis ini, Menteri Agama  turut mengiktiraf pencapaian TV AlHijrah pada Ramadan lalu yang membuktikan kepercayaan masyarakat terhadap kandungan Islamik berkualiti. 

“Statistik menunjukkan jumlah tontonan di platform AlHijrah Plus meningkat 183% pada Ramadan 2024 berbanding 2023. Jumlah tontonan di platform yang sama meningkat 168% pada Ramadan 2024 berbanding sebelum Ramadan. Selain itu, capaian di Facebook TV AlHijrah meningkat 105% pada Ramadan 2024 berbanding sebelum Ramadan. Manakala, lebih 1.01 juta tontonan bagi siaran langsung cerapan Anak Bulan Syawal di Facebook dan TikTok,” katanya.

program ramadan & syawal

Beliau turut memuji usaha TV AlHijrah dalam merangka pelbagai program istimewa bagi menyemarakkan Ramadan dan Syawal tahun ini. 

Antara program yang bakal ditayangkan termasuk Peristiwa Wanita Akhir Zaman, yang membincangkan cabaran dan peristiwa melibatkan wanita dengan pendekatan interaktif; Tadarus On The Go, sebuah program tadarus al-Quran setiap malam yang membolehkan penonton berinteraksi secara langsung dengan qari pilihan; serta Jalan Taubat, program muhasabah yang mengetengahkan perjalanan rohani individu dalam mencari keampunan dan hidayah. 

Selain itu, TV AlHijrah turut menyajikan pelbagai program khas lain seperti Qalbun Saleem, Cinta Ilmu Istimewa Ramadan, dan Khatam Ramadan 1446H untuk menghidupkan roh Ramadan dan Syawal dalam kalangan penonton.

Mengakhiri ucapannya, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk memanfaatkan peluang keberkatan Ramadan bagi membina masyarakat yang lebih beriman dan bertakwa.

“Marilah kita bersama-sama berdoa agar segala usaha dan perancangan yang disusun ini mendapat limpahan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Ramadan adalah bulan untuk kita memperbaiki diri, menguatkan ukhuwah dan membentuk Malaysia yang lebih harmoni dengan Islam sebagai pedoman kehidupan,”ujarnya.

Dengan ketibaan Ramadan yang semakin hampir, TV AlHijrah komited untuk menampilkan lebih banyak program yang memberikan solusi kepada cabaran masyarakat hari ini. 

Penonton boleh mengikuti rancangan-rancangan menarik Ramadan dan Syawal TV AlHijrah melalui saluran TV AlHijrah, aplikasi AlHijrah Plus, platform media sosial rasmi, serta portal AlHijrah Online. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.tvalhijrah.com.

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.