Siakap Keli
Kredit: RTM

Umat Islam Di Malaysia Mula Puasa Ahad

Umat Islam Di Malaysia Mula Puasa Ahad

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan ibadah puasa di Malaysia secara rasminya akan bermula pada Ahad (2 Mac).

Pengumuman tersebut disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebentar tadi.

Menurut Syed Danial, penetapan tarikh bermulanya puasa bagi negeri-negeri di seluruh negara itu telah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Ahad 2 Mac 2025,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tarikh melihat anak bulan bagi Ramadan tahun ini ditetapkan pada 28 Februari bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijrah.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja sebelum ini, Majlis Raja-Raja telah memperkenan cara penetapan tarikh bermula Ramadan berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Dalam pada itu, Singapura dan Brunei Darussalam turut bakal memulakan ibadah puasa pada Ahad.

Manakala bagi Indonesia, umat Islam bakal menjalani ibadah puasa awal sehari iaitu pada Sabtu, lapor BBC. Pengumuman tersebut disampaikan oleh Menteri Agama Indonesia, Nasaruddin Umar.

“Diumumkan malam ini, 1 Ramadan ditetapkan pada hari esok, insya-Allah 1 Mac 2025. Kami memohon maaf atas kelewatan kerana menunggu bahagian paling barat Indonesia, Aceh,” umum beliau.

BACA: Penjawat Awam Selangor Pulang 30 Minit Awal Sepanjang Ramadan

BACA: Kemuncak Tujuh Planet Sejajar Bermula Malam Ini

Sumber: RTM, BBC News Indonesia

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.