Detik Pengumuman Puasa Di Jepun, Rupanya Ikut Tarikh Diumumkan Malaysia
Saban tahun, pencerapan anak bulan dilakukan pada 29 Syaaban bagi menentukan tarikh bermulanya 1 Ramadan. Di Malaysia, cerapan anak bulan dilakukan di 29 lokasi seluruh negara oleh satu jawatankuasa khas.
Bukan hanya di Malaysia, malah kebanyakan negara turut menggunakan kaedah ini yang disebut sebagai rukyah anak bulan. Jika anak bulan tidak kelihatan disebabkan langit yang mendung atau cuaca hujan, kaedah hisab iaitu kiraan akan diguna pakai.
Menurut Jabatan Mufti Pulau Pinang, kaedah hisab ini melibatkan pengiraan pada tiga hari yang penting sahaja.
“Kedudukan hilal dikira pada tarikh 29 haribulan tetapi kita masih wajib melihat hilal pada hari ke-29 tersebut berdasarkan data yang diperolehi. Hal ini untuk memastikan hilal wujud dan kelihatan.
“Sekiranya langit berawan ketika hari tersebut tetapi hasil pengiraan menunjukkan ketika matahari terbenam, hilal berada pada ketinggian lebih dari 2° dan jaraknya dari matahari melebihi 3°, atau umur hilal ketika ia terbenam melebihi lapan jam, pada ketika ini hilal dikatakan wujud dan boleh dilihat,” jelas jabatan tersebut menerusi satu kenyataan.
Biarpun begitu, terdapat negara yang tidak berkemampuan untuk mengadakan cerapan dan kiraan ini. Antara negara yang diketahui ialah Jepun.
Rupa-rupanya, sehingga ke hari ini, umat Islam di Jepun menjadikan pengumuman bermulanya bulan Ramadan di Malaysia sebagai rujukan mereka. Perkara ini disahkan menerusi rakaman siaran langsung pengumuman yang dijalankan oleh Jawatankuasa Rukyah Hilal Jepun.
Menerusi rakaman tersebut, seorang ahli jawatankuasa mengumumkan tarikh bermulanya 1 Ramadan dengan berbahasa Inggeris. Selepas selesai pengumuman tersebut, satu lagi pengumuman dibuat dengan menggunakan bahasa Jepun oleh ahli jawatankuasa yang lain.
Kedua-dua ahli jawatankuasa itu turut menyebut penentuan tarikh itu merujuk kepada pengumuman rasmi dari Malaysia.
Dalam pada itu, Jawatankuasa Rukyah Hilal Jepun turut memuat naik pengumuman bertulis di laman Facebook jawatankuasa tersebut. Pengumuman yang menggunakan enam bahasa asing itu juga meletakkan Malaysia sebagai rujukan penentuan tarikh bermulanya Ramadan.
“Menurut Fatwa Ulama, kami berpandu kepada pihak berkuasa agama Islam Malaysia dalam penentuan ini,” maklum jawatankuasa.
https://www.facebook.com/salimurrahman.khan/posts/pfbid0Ko7GtUGg51fkDqRLwxUdH3fbUhVDbvWksEhVDyCxxWsRkNoKQ7eZ4hDmG2P3TmaSl
https://www.facebook.com/rhcjapan/videos/601062242692815/
BACA: Umat Islam Di Malaysia Mula Puasa Ahad
BACA: Umat Islam Di Indonesia Mula Berpuasa Sabtu, Singapura, Thailand, Kemboja Mulai Ahad
Sumber: Jawatankuasa Rukyah Hilal Jepun