Enjin Pesawat FedEx Terbakar Di Udara Selepas Langgar Burung
Amerika Syarikat — Sebuah pesawat kargo FedEx yang dalam perjalanan dari Newark ke Indianapolis melanggar seekor burung semasa berlepas pada pagi Sabtu, lapor NBC News.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata salah satu enjin pesawat terbabit mengalami kerosakan akibat kejadian terbabit.
Video yang tular di laman X menunjukkan enjin Boeing 767 itu terbakar semasa di udara.
https://x.com/gaysonuwu/status/1895824975178973395
https://x.com/fl360aero/status/1895826603822690703
Bagaimanapun, pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan dan selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty sekitar jam 8.07 pagi waktu tempatan. Pihak Berkuasa Pelabuhan New York dan New Jersey mengesahkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan akibat insiden terbabit.
“Kru kami mengisytiharkan kecemasan dan kembali semula ke Newark dengan selamat. Kami berterima kasih atas tindakan pantas anak kapal dan responden pertama, ” kata FedEx kepada NBC News.
BACA: Pesawat Delta Air Lines Terbalik Ketika Mendarat Di Toronto, 15 Cedera
FAA kini sedang menyiasat lebih lanjut mengenai kejadian tersebut.
Untuk pengetahuan, ini bukan insiden penerbangan pertama yang menjadi tajuk berita minggu ini.
Semalam, penerbangan Delta Air Lines berpatah balik ke Atlanta selepas anak kapalnya mengesan kemunculan asap dalam pesawat itu.
Delta Air Lines juga mencuri tumpuan beberapa minggu lalu apabila salah sebuah pesawatnya tergelincir dan terbalik ketika mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pearson, Toronto.
Kejadian itu menyebabkan sekurang-kurangnya 15 orang cedera termasuk seorang kanak-kanak.
BACA: Pesawat Bering Air Dilapor Hilang Di Alaska, Misi Mencari Sedang Dijalankan
Menurut laporan, seorang lelaki berusia 60-an, seorang wanita dalam lingkungan 40-an dan seorang kanak-kanak berada dalam keadaan kritikal. Manakala 12 orang lagi mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di hospital.
Difahamkan, insiden tersebut berlaku sekitar 3.30 petang waktu tempatan (EST) dalam keadaan bersalji, menurut pihak berkuasa lapangan terbang.
Sementara itu, penerbangan American Airlines yang dalam perjalanan dari New York ke New Delhi telah dilencongkan ke Rom minggu lalu selepas ancaman bom dibuat terhadap pesawat itu.
Sumber: NBC News