Siakap Keli
KUALA LUMPUR: 3 Mac 2025 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia  Berhad (“SME Bank”) telah memeterai kerjasama strategik dengan CDC International Sdn.  Bhd. (“CDCi”) melalui Memorandum Persefahaman (“MoU”) bagi memperluaskan
Gambar Hiasan

SME Bank Keupayaan Kewangan Dan Digital Usahawan Melalui Kerjasama Strategik Bersama CDC International

SME Bank Keupayaan Kewangan Dan Digital Usahawan Melalui Kerjasama Strategik Bersama CDC International

KUALA LUMPUR: 3 Mac 2025 – Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia  Berhad (“SME Bank”) telah memeterai kerjasama strategik dengan CDC International Sdn.  Bhd. (“CDCi”) melalui Memorandum Persefahaman (“MoU”) bagi memperluaskan akses  kewangan serta penyelesaian digital untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (“PMKS”)  di Malaysia. Selain itu, kerjasama ini turut merangkumi inisiatif pembangunan keupayaan  secara menyeluruh melalui anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development &  Research (“CEDAR”). Inisiatif ini menegaskan komitmen SME Bank dalam memperkasa  keupayaan digital dan kewangan PMKS, mengiktiraf peranan penting mereka sebagai tulang  belakang ekonomi Malaysia. 

Pemangku Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr. Mohammad Hardee  Ibrahim, berkata, “Kami berbesar hati menjalinkan kerjasama dengan CDCi sebagai rakan  kongsi kami, mencerminkan komitmen kami untuk membantu PKS tempatan meningkatkan  dan memajukan aspirasi mereka. Sejak 2021, platform digital kami, termasuk ELSA,  ScoreXcess dan ODELA telah menyokong hampir 5,000 PKS merentas sektor utama.  Kerjasama ini memberi penekanan kepada pemudahcara akses pasaran dan pembangunan  perniagaan melalui CDC Speed, sebuah platform perolehan digital yang menghubungkan  pembekal PKS dengan pembeli besar daripada sektor awam dan swasta. Ini adalah selaras  dengan komitmen kami untuk membina ekosistem digital yang kukuh serta menyokong rangka  kerja MADANI Kerajaan, yang memberi keutamaan kepada ekonomi digital sebagai pemacu  utama pertumbuhan.” 

“Sejajar dengan mandat pembangunan kami, fokus akan terus diberikan kepada sektor-sektor  strategik utama, termasuk segmen Teknologi dan Digital melalui program inovatif seperti SME  Technology Transformation Fund (“STTF”) seperti yang diamanahkan dalam Belanjawan  Negara 2025. Sementara itu, latihan, pensijilan dan pembinaan kapasiti akan digerakkan melalui anak syarikat kami, Centre for Entrepreneurial Development & Research (“CEDAR”)  menerusi program pembangunan keusahawanan yang melangkaui pembiayaan. 

“Saya yakin kepakaran kolektif antara SME Bank dan CDCi bukan sahaja akan  mengintegrasikan aspek kewangan dan teknologi tetapi juga dapat membina ekosistem yang  kukuh menerusi inisiatif pembangunan keupayaan yang berkesan. Ini akan memastikan  PMKS mampu berkembang maju dalam persekitaran perniagaan yang semakin mencabar  dan berdaya saing,” jelas Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim. 

Putri Nurul Ida Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif CDCi berkata, “Kami berbesar hati untuk  bekerjasama dengan SME Bank, salah satu institusi kewangan pembangunan terkemuka di  Malaysia. Kerjasama strategik ini menandakan kemajuan penting dalam ekosistem PKS  dengan menggabungkan kepakaran kewangan SME Bank dan inovasi platform perolehan  digital SPEED oleh CDCi . Melalui SPEED, kami bukan sekadar memudahkan transaksi, tetapi  turut mengubah akses pasaran dengan membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana  (“PMKS”) berhubung terus dengan pembeli berskala besar dalam sektor awam dan swasta.  Inisiatif ini bakal mempercepatkan pertumbuhan perniagaan, meningkatkan kecekapan  rantaian bekalan, dan mengukuhkan daya saing PMKS dalam landskap ekonomi Malaysia  yang semakin berkembang.” 

“Dengan mengintegrasikan penyelesaian digital kami bersama infrastruktur kewangan kukuh  SME Bank, kami berhasrat untuk membuka peluang pertumbuhan baharu dan  mempercepatkan transformasi digital PMKS, selaras dengan aspirasi Kerajaan Malaysia ke  arah persekitaran perniagaan yang lebih berdaya saing dan berasaskan teknologi. Kami yakin  kerjasama ini akan memberi impak yang berpanjangan dengan memperluaskan akses  kewangan, memupuk inovasi, serta membekalkan usahawan dengan sumber yang diperlukan  untuk berjaya dalam ekonomi yang semakin maju ini,” tambah Putri Nurul Ida Yahya. 

CDCi ialah penyedia penyelesaian perolehan digital yang memacu kecekapan dan inovasi  dalam transaksi B2B. Dengan fokus terhadap pendigitalan, pengurusan vendor, dan  perolehan eWorks, CDCi memperkasa perniagaan serta agensi kerajaan dengan platform  berasaskan teknologi yang selamat, berskala, dan lancar. Komitmen terhadap inovasi,  kebolehpercayaan, dan penyelesaian berorientasikan pelanggan menjadikan CDCi sebagai  rakan yang dipercayai dalam transformasi digital. 

Kerjasama strategik ini mengukuhkan usaha transformasi digital SME Bank yang berterusan  dalam mempertingkatkan sokongan kepada PMKS di pelbagai peringkat pertumbuhan.  Sehingga kini, lebih 3,000 PMKS telah mendapat manfaat daripada Enterprise Lifecycle  Scoring Assessment (“ELSA”), sebuah alat penilaian berstruktur berasaskan data yang  membantu membimbing PMKS dalam kitaran pembangunan mereka merentasi pelbagai saiz,  sektor dan peringkat perniagaan. Selain itu, ELSA turut meraih pengiktirafan berprestij dalam  kategori Pembangunan Teknologi di Anugerah ADFIAP 2025, yang dianjurkan oleh Association of Development Financing Institutions in Asia and the Pacific (“ADFIAP”). 

Melengkapkan inisiatif ini, portal ScoreXcess SME Bank mempermudahkan akses  pembiayaan dengan memadankan keperluan perniagaan dengan peluang pembiayaan yang  sesuai, manakala platform ODELA mentransformasikan landskap perniagaan kepada  perniagaan (“B2B”) menerusi ekosistem e-dagang yang sistematik dan informatif.  

Ketahui lebih lanjut mengenai program dan inisiatif SME Bank di www.smebank.com.my,  Facebook SME Bank, atau hubungi Pusat Panggilan Pelanggan SME Bank di 603-26037700. 

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.