Disangka Hilang, Rupanya Rakan ‘Sorok’ Bantal Busuk 4 Tahun
Kenangan dan ingatan merupakan antara perkara paling bernilai dalam hidup seseorang. Jika zaman kini, kebanyakan kenangan lebih mudah disimpan menerusi gambar dan video, 15 tahun kebelakang tidak sebegini.
Ketika itu, masih ramai yang tidak mempunyai kemudahan teknologi melainkan memiliki kamera filem. Itupun tidak semua kenangan dapat dirakam menjadi gambar berikutan harga segulung filem dan upah mencucinya tidak semurah yang disangka.
Disebabkan itu, ramai dalam kalangan kita menyimpan pelbagai jenis barang yang mempunyai kenangan. Ada yang masih menyimpan barang yang diterima ketika zaman kanak-kanak, ada juga yang menyimpan barang kenangan dari insan tersayang yang telah pergi.
Paling memilukan apabila barang yang penuh kenangan ini rosak atau hilang, apatah lagi apabila barang tersebut sentiasa dibawa ke mana saja kita pergi. Itulah yang dirasai oleh seorang lelaki berusia 34 tahun ini.
Pernah tular merakam dirinya berbahasa Melayu penuh ketika latihan membaca skripnya diganggu, seorang pengguna TikTok yang lebih mesra dipanggil Muniswaran kini kembali tular.
Berkongsi kegembiraan, Muniswaran memuat naik rakaman berkenaan bantal busuk miliknya yang disangka hilang, ditemui kembali.
Bukan setakat itu, bantal tersebut disimpan elok di dalam bekas kaca bersama beberapa keping gambar ketika dia masih kecil.
Menurutnya, bantal busuk itu berada dalam simpanannya sejak 1996 hingga 2019.
“Inilah bantal busuk saya dari umur empat tahun. Tahun 2020 pindah rumah, ingatkan tercicir atau tertinggal dekat mana-mana.
“Rupa-rupanya kawan saya ni simpan selama empat tahun semata-mata nak bagi hadiah hari jadi saya bulan Januari,” kongsinya.
Ketika ditanya SK, Muniswaran memaklumkan bantal ini mempunyai nilai sentimental mendiang bapa buat dirinya.
“Dulu-dulu, setiap kali balik kampung ke Perak, bas akan berhenti dekat Perhentian Ayer Hitam jadi (bantal) ada jual di sana, terus beli,” katanya.
Apabila ditanya tentang saiz bantal yang terlalu kecil itu, Muniswaran turut berkongsi kenangan yang tercipta.
“Bantal saya tu saya gunakan terlalu lasak, tu yang robek. Lepas tu ayah yang selalu jahitkan sebab hancur,” kongsi lelaki berkenaan.
Itulah kisahnya nilai sesuatu barang yang penuh kenangan. Walau hanya segumpal bantal, kesan sentimental sebesar kenangan bersama mereka yang sudah meninggalkan kita.
@muniswaranharirama ne lh bantal busuk tambi dari umur 4 tahun, last 2020 pindah rumah ingtkan tercicir or tertinggal kt mana2, rupa2 nyer member katek tambi ne simpan selama selama 4 tahun semata2 nk bagi gift hari jadi tambi bulan january 😭
♬ original sound – Tambi Mamat Insurance AIA – Tambi Mamat Insurance AIA
BACA: Hasil Tanaman Dibuat Kuih, Wanita Kongsi Resipi Koci Labu
Sumber: TikTok @muniswaranharirama