Hong Kong Naik Taraf Pengalaman Perjalanan Mesra Muslim untuk Pelancong Muslim
Hong Kong terus mendekati sasaran untuk menjadi destinasi pilihan mesra Muslim dengan meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan yang memenuhi keperluan pelancong Muslim. Salah satu pencapaian utama dalam usaha Hong Kong Tourism Board (HKTB) ini adalah peningkatan jumlah hotel yang menyertai program akreditasi Crescent Rating (CR) — sebuah program penilaian mesra Muslim oleh Crescent Rating, syarikat pemasaran pelancongan Muslim antarabangsa.
Sehingga Februari 2025, sebanyak 52 hotel di Hong Kong telah berjaya memperoleh penilaian akreditasi daripada Crescent Rating, berdasarkan kemudahan mesra Muslim yang disediakan di hotel-hotel tersebut. Selain itu, Hong Kong juga telah memperluaskan pilihan restoran yang disahkan Halal dan mesra Muslim, seperti yang diakreditasi oleh Incorporated Trustees of the Islamic Community Fund of Hong Kong (Board of Trustees). Kini di Hong Kong terdapat 153 restoran yang disahkan Halal dan dimiliki oleh peniaga Muslim, iaitu peningkatan sekitar 100 restoran Halal sejak inisiatif mesra Muslim ini dilancarkan oleh HKTB pada Jun 2024.
Usaha ini telah menghasilkan impak dengan peningkatan ketibaan pelancong dari Indonesia dan Malaysia, masing-masing sebanyak 43% dan 50% tahun ke tahun. Ini mencerminkan minat yang tinggi terhadap Hong Kong dalam kalangan pelancong Indonesia dan Malaysia. Permintaan yang meningkat ini dijangka akan mendorong lebih banyak lagi perniagaan tempatan di Hong Kong untuk menyertai inisiatif pelancongan mesra Muslim, sekali gus meningkatkan daya tarikan Hong Kong sebagai destinasi mesra Muslim.
Justeru, HKTB telah menjalinkan kerjasama dengan pihak berkepnetingan pelancongan tempatan untuk memupuk pemahaman yang lebih baik tentang keperluan pelancong Muslim melalui program latihan serta menyediakan bimbingan melalui proses akreditasi. Usaha berterusan ini telah meningkatkan pengalaman pelancong Muslim dan meningkatkan pemahaman tentang keperluan Halal dan mesra Muslim dalam kalangan pihak berkepentingan pelancongan tempatan.
Liew Chian Jia, Pengarah Wilayah Asia Tenggara, HKTB berkata, “Kami amat teruja oleh pencapaian positif sepanjang tahun lalu. Kini, dengan lebih banyak tarikan, restoran, dan hotel yang telah diakreditasi, ia mencerminkan semangat Hong Kong dalam memastikan pengalaman terbaik untuk pelancong Muslim. Kami berhasrat untuk meningkatkan kedudukan Hong Kong sebagai destinasi mesra Muslim terkemuka, khususnya dalam kalangan pelancong Indonesia dan Malaysia. Kami juga tidak sabar untuk menyambut lebih ramai tetamu Muslim untuk menikmati tawaran terbaik Hong Kong pada tahun 2025 dan seterusnya.”
Meneruskan fokusnya untuk mengembangkan sumber pelawat dari pasaran Muslim utama termasuk Indonesia dan Malaysia, HKTB juga telah meningkatkan usaha promosinya untuk mengetengahkan Hong Kong sebagai destinasi utama pelancong Muslim.
5 Pengalaman Makan Halal yang Wajib Dicuba di Hong Kong
Untuk membantu pelancong Muslim meneroka bandar ini dengan lebih mudah, berikut beberapa restoran baharu yang menawarkan pilihan Halal dan mesra Muslim:
- Chinesology
Restoran Cina ‘fine-dining’ pertama di Hong Kong yang mesra Muslim, Chinesology telah menerima pensijilan Halal sebagai sebahagian daripada usaha HKTB bersama Incorporated Trustees of the Islamic Community Fund of Hong Kong (Board of Trustees). Chinesology menawarkan sajian makanan mewah dengan pilihan hidangan Cina yang diperakui Halal.
Alamat: Shop 3101, Podium Level 3, IFC Mall, Central, Hong Kong
- Cuisine Cuisine
Cuisine Cuisine di The Mira merupakan restoran mewah yang menawarkan masakan Kantonis moden dengan sentuhan kontemporari. Disyorkan oleh Michelin Guide Hong Kong & Macau sejak 2012, ia menyediakan pilihan halal termasuk dim sum kreatif dan hidangan khas bermusim.
Alamat: 3/F, The Mira Hong Kong, Mira Place, 118 Nathan Road, Tsim Sha Tsui
- Dorsett Tsuen Wan – Dorsett Café
Dorsett Café di Dorsett Tsuen Wan telah mengeluarkan masakan daging khinzir daripada menu dan menerima pensijilan Halal sepenuhnya. Restoran ini menawarkan bufet sarapan pagi, menu set, dan pilihan makan dalam bilik yang mesra Halal. Di samping itu, Dorsett Café turut melancarkan bufet Ramadan istimewa untuk memastikan pengalaman menjamu selera yang selesa dan menyelerakan sepanjang bulan yang mulia ini.
Alamat: 28 Kin Chuen Street, Kwai Chung, Kowloon, Hong Kong
- Kowloon Shangri-La
Hotel Kowloon Shangri-La yang terkenal ini telah mula menghidangkan sajian mesra Muslim yang diperakui Halal di Café Kool. Diiktiraf sebagai “Restoran Mesra Halal,” Café Kool menyajikan bufet Ramadan yang menarik untuk tetamu dan pelancong Muslim menikmati pelbagai pilihan hidangan yang mencerminkan warisan masakan yang pelbagai di rantau ini. Inisiatif ini memastikan pelancong Muslim mempunyai akses mudah kepada pilihan tempat makan Halal berkualiti tinggi sepanjang penginapan mereka.
Alamat: 64 Mody Rd, Tsim Sha Tsui, Hong Kong
- Jenama Kuih Tempatan
Makanan tradisional Hong Kong juga kini menjadi lebih mudah untuk dinikmati oleh pelancong Muslim. Beberapa pilihan diperakui Halal yang terkenal termasuk:
- Kee Wah Bakery – Ditubuhkan lebih 86 tahun yang lalu, Kee Wah Bakery ialah bakeri Hong Kong terkenal yang memelihara kesenian roti dan pastri tradisional Cina. Ia kini merupakan jenama yang diiktiraf di peringkat global dan pilihan cenderahati utama pelancong. Biskut dan kuih yang diperakui halal boleh didapati di 70 cawangan kedai di Hong Kong bermula 1 April 2025.
Alamat: Pelbagai outlet di sini
- PIN Cookies – Biskut dan kuih buatan tempatan ini menggabungkan perisa Kantonis tradisional dengan bahan-bahan inovatif yang menawarkan pilihan manis ataupun yang bukan (malah terdapat pilihan pedas) untuk memenuhi apa jua selera.
Alamat: Shop 3022A, Podium Level 3, ifc mall, Central, Hong Kong (Central Branch)
- Fine Foods Shop – Patisserie terkenal The Royal Garden ini menawarkan Original Butterfly Cookies yang dinobat ‘terbaik di Hong Kong’, mesra halal dan dibuat setiap hari. Doh digulung sekurang-kurangnya enam kali, ditaburi gula putih kemudian dipotong mengikut bentuk rama-rama yang cantik. Tekstur rangup yang halus umpama cair di mulut secara berlapis-lapis. Kesemuanya diberikan sentuhan Perancis, sedia untuk dibawa pulang sebagai buah tangan yang istimewa.
Alamat: Lobby, The Royal Garden, 69 Mody Road, Tsimshatsui East, Kowloon, Hong Kong or at various outlets here.
HKTB Mengukuhkan Komitmen untuk Mengalu-alukan Pelancong Muslim pada Tahun 2025 dan Seterusnya
HKTB kekal komited untuk meningkatkan pilihan tawaran mesra Muslim menerusi kerjasama berterusan dengan rakan-rakan hospitaliti yang menjanjikan pengalaman inklusif kepada semua pelancong. Dengan pengiktirafan yang kian bertambah dan penerimaan positif daripada pelancong Muslim, Hong Kong terus mengorak langkah ke arah menjadikan kota raya itu destinasi utama pelancongan mesra Muslim di rantau ini. Dengan bertambahnya pihak berkepentingan yang sama-sama turut serta untuk menjayakan inisiatif yang semakin berkembang ini, kemesraan kota raya Hong Kong pastinya mengalu-alukan kunjungan pelancong Muslim pada tahun-tahun akan datang.
Pelancong Muslim yang ingin merancang percutian ke Hong Kong boleh merujuk laman web khusus Pelancongan Muslim HKTB untuk maklumat lanjut terkini tentang kemudahan, perkhidmatan serta tarikan mesra Muslim di kota raya ini. Laman web ini akan sentiasa dikemas kini dengan maklumat tentang kemudahan serta perniagaan mesra Muslim yang baharu diiktiraf.
Laman web: https://www.discoverhongkong.com/seasia/explore/muslim-travel-bm.html