Kartunis, Azmi Hussin Meninggal Dunia
Kartunis dan ahli karikatur tempatan, Mohd Azmi Mohd Hussin menghembuskan nafas terakhir pada usia 41 tahun semalam. Berita duka itu disampaikan oleh rakan Allahyarham.
“Kehilangan seorang sahabat kartunis dan ahli karikatur, insan yang hebat dan merendah diri. Allah jemput Abang Mie di bulan yang baik. Tanjong Life dalam kenangan. Al-Fatihah. Salam takziah buat keluarga arwah,” nukilnya menerusi satu muat naik di laman Facebook.
Lebih dikenali sebagai Azmi Hussin atau Me, Allahyarham dikhabarkan mengalami serangan jantung ketika dalam perjalanan pulang dari bazar Ramadan bersama keluarga, lapor RTM.
Solat jenazah akan dijalankan di Masjid Bandar Baru Air Itam selepas solat Zohor dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Hashim Yahya Jalan Perak.
Allahyarham memulakan kerjaya seninya ketika berusia 29 tahun dan mula dikenali apabila komik keduanya, “The Little Mamak” disenaraikan oleh Majlis Buku Negara antara 50 buku terbaik di Malaysia. Malah, komik tersebut juga pernah mewakili tanah air ke Pesta Buku di Frankfurt, Jerman.
Nama Allahyarham turut pernah menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebanyak tiga kali. Salah satu daripadanya diterima setelah Allahyarham meluangkan selama 24 jam melukis 320 karikatur, iaitu “Most Caricature Live Painting in 24 Hours”.
Salah seorang peminat, Radhakrishnan Subbrayan yang pernah bertemu Allahyarham pada 2018 turut menyampaikan ucapan takziah.
“Berita yang amat menyedihkan. Saya baru sahaja menerima khabar pemergian Azmi Hussin, kartunis dan ahli karikatur paling disayangi Pulau Pinang. Saya pernah beberapa kali bertemu beliau, sentiasa beradab, rendah diri dan lembut percakapannya yang menaungi bakat luar biasa. Semoga ahli keluarga tabah menghadapi ujian ini,” titipnya di laman Facebook.
Tahun lalu, Allahyarham berpeluang menggalas tanggungjawab sebagai pelukis mural di Muzium Feri Pulau Pinang yang diberi judul “Passengers”.
“Satu penghormatan berpeluang melukis di feri ikonik Pulau Pinang yang pernah saya naiki dari Butterworth ketika kecil. Terima kasih Printhero Merchandise Sdn Bhd atas kepercayaan ini,” nukil Allahyarham di laman Facebook miliknya.
Lukisan mural tersebut menonjolkan pelbagai gelagat penumpang feri. Bahagian atas feri dikhaskan untuk pejalan kaki manakala di bahagian bawah dikhususkan untuk penumpang yang menaiki kenderaan.
https://www.facebook.com/azmibmx/posts/pfbid0LhRXJCGRdz1gPN2VTfHnfwxxXwELMbmcgR6bAtLPoxX9wmawHcYHi6QmENUfXrHQl
BACA: Penduduk Sekinchan Gempar Dibadai Puting Beliung
Kredit: RTM, Topikoko Chik, Radhakrishnan Subbrayan