Kisah Pernah Disiar Dalam Netflix, Budak Lelaki Ditemui Selepas 7 Tahun Hilang
Amerika Syarikat – Seorang kanak-kanak yang didakwa telah diculik oleh ibunya pada tujuh tahun lalu telah ditemui semula sejauh 2,400 kilometer dari lokasi dia diculik, lapor UNILAD.
Ketika laporan dibuat, kanak-kanak tersebut hilang di Atlanta, Georgia pada 2017 selepas Hari Kesyukuran (Thanksgiving). Kisah kehilangan ini menjadi misteri sehingga ditayangkan dalam siri dokumentari ‘Unsolved Mysteries’ di platform media penstriman dalam talian, Netflix.
Abdul Aziz Khan, berumur tujuh tahun ketika laporan dibuat, disyaki diculik oleh ibunya selepas bapanya menerima hak penjagaan penuh daripada mahkamah.
Menurut laporan media, kanak-kanak tersebut ditemui secara tidak sengaja apabila pihak polis menerima laporan kes pecah masuk sebuah kediaman. Pemilik kediaman tersebut menghubungi pihak polis selepas mendakwa mereka ternampak dua penceroboh menerusi kamera litar tertutup kediaman yang disenaraikan untuk dijual pada 23 Februari itu.
Sejurus menerima laporan tersebut, pegawai polis dari Pejabat Sherif Wilayah Douglas bergegas ke lokasi kejadian. Mereka menemui dua orang kanak-kanak berada di tempat duduk sebuah kereta yang diletakkan di laluan kediaman berkenaan. Turut bersama mereka adalah dua orang dewasa yang menceroboh rumah terbabit.
Salah seorang darinya adalah ibu kepada Abdul Aziz yang berumur 40 tahun, manakala seorang lagi adalah lelaki berusia 42 tahun. Pasangan penceroboh tersebut kemudiannya ditahan di lokasi kejadian atas tuduhan menculik, pemalsuan, kecurian identiti, memberi maklumat palsu kepada pihak berkuasa dan menceroboh.
Menerusi kenyataan pihak polis, ahli keluarga Abdul Aziz menyampaikan rasa syukur apabila kanak-kanak tersebut ditemui.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan selama tujuh tahun ini. Terima kasih khasnya kepada Pejabat Sherif Wilayah Douglas atas kejayaan mereka menyelesaikan kes ini. Buat masa ini, kami perlukan privasi dalam menentukan langkah seterusnya agar kami dapat teruskan hidup sebagai sebuah keluarga dan pulih bersama,” ujarnya.
Marsyal Amerika Syarikat di Daerah Timur Louisiana, Enix Smith III berkata, penemuan penting ini berikutan usaha pencarian berterusan selama tujuh tahun.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penemuan ini, terutamanya pihak berkuasa di Wilayah Douglas, Colorado atas tindakan pantas dan berkesan anggota mereka. Selain itu, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada NCMEC, siri Unsolved Mysteries Netflix dan Crimestoppers GNO dalam menarik perhatian orang ramai terhadap perkara ini,” ucapnya.
BACA: Jumlah Outlet Mixue Kini Atasi McDonald’s & Starbucks
Sumber: UNILAD, Douglas County Sheriff