Boleh Tahan Ribuan Tahun, Ini Sebab Madu Tulen Tiada Tarikh Luput
Madu ialah cecair manis semula jadi yang dihasilkan oleh lebah daripada nektar bunga. Sejak beribu tahun dahulu, madu telah digunakan sebagai pemanis, ubat tradisional dan bahan dalam pelbagai produk kecantikan.
Selain rasanya yang enak, madu kaya dengan pelbagai nutrien dan mempunyai sifat antibakteria serta antioksidan yang tinggi.
Kandungan gula yang tinggi, keasidan semula jadi, serta sifat antibakteria menjadikan madu mampu bertahan dalam tempoh yang sangat lama tanpa mengalami kerosakan.
Jadi, kali ini kami di SK ingin berkongsi dengan anda semua mengapa madu menjadi salah satu bahan semula jadi yang tidak mempunyai tarikh luput.
Madu asli satu-satunya makanan tidak rosak
Menurut portal Taste Of Home, madu tulen tiada tarikh tamat tempoh kerana ia tidak rosak dengan sendirinya. Bagaimanapun, warna cecair ini boleh berubah daripada pucat kepada gelap.
Tekstur madu boleh berubah daripada cair kepada pekat dan berbutir melalui satu proses yang dikenali sebagai penghabluran. Malah, perubahan ini tidak menjadikan madu rosak atau tidak selamat untuk dimakan.
Namun begitu, madu boleh menghasilkan bau busuk, masam atau berkulat sekiranya mengalami proses penapaian dan menjadi rosak. Difahamkan, ia hanya berlaku jika terdedah kepada kelembapan.
Adakah jenis madu memiliki perbezaan?
Madu yang kurang diproses seperti madu mentah dan madu sarang, lebih cenderung menjadi warna gelap atau mengalami penghabluran.
Taste Of Home berkata, produk madu yang dijual di pasar raya ialah madu yang dipasteur, iaitu telah dirawat dengan haba. Cecair ini diproses untuk mengekalkan tekstur yang cair dan jernih lebih lama.
Selain itu, ia juga telah dicampurkan bersama bahan-bahan tambahan yang tidak baik untuk kesihatan pengguna.
Kenapa madu tidak mudah rosak?
Keistimewaan madu yang tidak mudah rosak terletak pada ciri-ciri semula jadinya. Ia mempunyai kandungan gula yang sangat tinggi yang menghasilkan tekanan osmotik sehingga mampu membunuh bakteria dan mikroorganisma.
Menurut Taste Of Home, madu juga mengandungi kelembapan yang sangat rendah, menjadikannya persekitaran yang tidak sesuai untuk bakteria dan kulat.
Ia turut mengandungi enzim hidrogen peroksida, bahan semula jadi yang membunuh bakteria dan mencegah pembusukan. Oleh itu, madu yang disimpan dengan baik dapat bertahan lama tanpa rosak.
Cara penyimpanan madu dengan betul
Anda perlu menyimpan madu di dalam bekas yang tertutup rapat untuk mengelakkan udara dan kelembapan masuk.
Difahamkan, lokasi yang ideal adalah di tempat yang sejuk dan tidak terdedah kepada cahaya matahari.
BACA: Dipercayai Cas Telefon Ketika Tidur, Remaja Maut Terkena Renjatan Elektrik
Sumber: Taste Of Home