Gardenia KL Terus Komited Menyokong Pendidikan Negara Melalui Program Bag-2-School
SHAH ALAM, 7 Mac 2025 – Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) sekali lagi meneruskan komitmennya dalam menyokong pendidikan negara melalui program tahunan Bag-2-School. Tahun ini, lebih 1,300 beg sekolah, alat tulis, dan snek-snek lazat Gardenia telah diagihkan kepada murid-murid di beberapa sekolah terpilih. Program ini bertujuan untuk membantu pelajar yang memerlukan supaya mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan lebih ceria.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, Program Gardenia Bag-2-School, sebuah inisiatif di bawah payung #GardeniaCares, telah menjadi inisiatif penting bagi Gardenia KL dalam usaha menyumbang kembali kepada masyarakat. Program ini memberi tumpuan kepada sekolah-sekolah yang memerlukan sokongan tambahan, termasuk sekolah-sekolah yang terkesan oleh bencana alam seperti banjir serta mereka yang mempunyai pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.
“Di Gardenia KL, kami percaya bahawa setiap pelajar berhak mendapat yang terbaik dalam pendidikan mereka. Dengan menyediakan kelengkapan asas seperti beg sekolah dan alat tulis ini, kami berharap ianya dapat memberi sedikit kelegaan kepada keluarga serta menyuntik semangat anak-anak untuk terus mencapai kecemerlangan akademik,” kata Yazli Muhamad Saleh, Penolong Pengurus Besar, Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam, Gardenia KL.
Selain daripada kelengkapan sekolah, Gardenia juga menyumbangkan snek Gardenia Twiggies kepada semua murid dan guru yang terlibat, sebagai tanda penghargaan kepada mereka. Gardenia KL kekal komited dalam menyokong kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Gardenia KL akan terus memperluaskan lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar pada masa akan datang.