Ridzokumura Kongsi Nota Terakhir Arwah Akiko
Usahawan dan pempengaruh media sosial, Abd Ridzuan Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai Ridzokumura berkongsi nota terakhir yang ditulis oleh isterinya, Allahyarhamah Akiko Okumura.
Menerusi siaran langsungnya pada Khamis, Ridzokumura menunjukkan sekeping kertas berwarna kuning yang mempunyai lakaran beberapa hidangan makanan. Menurutnya, nota terakhir tersebut merupakan rancangan hidangan bersahur buat suami dan anak tercinta. Nota tersebut ditinggalkan Allahyarhamah di atas meja.
“Inilah nota terakhir dia. Dia lukis gambar-gambar ni. Saya tanya Sky tentang nota ini, rupanya dia nak buatkan hidangan bersahur untuk saya dan Sky,” kongsinya penuh hiba.
Katanya, sudah menjadi kebiasaan bagi Allahyarhamah untuk membuat lakaran sebagai nota peringatan kepadanya.
“Saya ni cepat lupa jadi bila dia pesan untuk belikan barang dapur, isteri saya akan lukis makanan, lakaran air,” ujarnya.

Berkongsi tentang perancangan keesokannya, Ridzokumura berkata mereka telah merancang untuk keluar bersama. Lantaran itu, Allahyarhamah bersiap sedia mengemaskan rumah pada malam itu.
Biarpun pada setiap hari Jumaat, pembantu rumah akan tiba untuk menguruskan kerja-kerja rumah selama empat jam, namun Allahyarhamah lebih gemar untuk mengemas rumah terlebih dahulu.
“Sebelum pembantu rumah datang, dia akan bersihkan rumah. Dia tidak mahu orang salah anggap apabila melihat rumah tidak terurus,” jelasnya.
Tambahnya lagi, Allahyarhamah begitu mesra terhadap pembantu rumah mereka.
“Makanan pun dia akan belikan untuk pembantu rumah. Dia akan layan pembantu rumah sama seperti ahli keluarga,” katanya.
Malah Ridzokumura dan Allahyarhamah turut mendidik Sky agar menghormati semua orang tanpa mengira latar belakang.
“Kita didik Sky, semua orang sama, tiada beza,” kongsinya lebih lanjut.
Menjawab kepada tohmahan yang diterima daripada warga maya yang menganggap dirinya tidak sensitif dengan mengadakan siaran langsung selepas ketiadaan Allahyarhamah, Ridzokumura menjelaskan tindakan tersebut.
“Siaran langsung ni satu rutin buat saya, walaupun sebelum isteri pergi, setiap hari saya buat siaran langsung. Saya rasa lega bila dapat berbual bersama penonton.
“Kalau saya tidak bersiaran langsung, itu perlu dibimbangkan. Bila saya bersiaran langsung, saya boleh luahkan rasa hati saya dan menyampaikan apa yang sepatutnya,” luahnya.
Pempengaruh tersebut turut mengucapkan terima kasih buat semua yang memberikan sokongan kepadanya.
@zatymael_ Replying to @momkitchen_ sedihnya bila tengok note tu 🥺 #ridzokumura #akiko #sky #takziah #notaterakhir
BACA: Ridzokumura Beri Penjelasan Kematian Isteri
Sumber: Ridzokumura via TikTok @adindapuspawangi, @zatymael_