Agrobazar Ramadan Beri Peluang Peniaga Mikro Kembangkan Perniagaan
Kedatangan bulan Ramadan yang mulia membuka pelbagai ‘pintu’ keberkatan kepada semua umat Islam. Di bulan ini, ramai yang mencari rezeki dengan menjual makanan, pakaian dan pelbagai lagi barangan keperluan termasuk bagi persiapan Hari Raya Aidilfitri di bazar Ramadan.
Malah, kita juga dapat menyaksikan peningkatan bilangan tapak bazar di seluruh negara pada tahun ini. Ia sekaligus menandakan bahawa ramai yang semakin berminat untuk berniaga terutama dalam kalangan anak muda.
Bagaimanapun, peningkatan kos sara hidup dari tahun ke tahun dan jualan yang tidak menentu membuatkan sesetengah dari mereka sukar untuk mendapatkan modal berniaga di bazar. Harga tapak bazar, bahan-bahan masakan dan kos pengangkutan semuanya perlu diambil kira, apatah lagi jika berniaga di kawasan bandar.
Rentetan itu, Agrobank bulan lalu telah melancarkan satu inisiatif untuk membantu para peniaga di bazar yang memerlukan modal. Dipanggil sebagai Agrobazar Ramadan, bank tersebut menawarkan pembiayaan dengan kadar minimum RM1,000 hingga ke maksimum RM100,000.
BACA: Agrobank Taja Biasiswa Ke IPTA Sebanyak RM221,000 Kepada Lima Pelajar Cemerlang
Bagi yang belum tahu, pihak Agrobank juga menyediakan kanopi eksklusif bagi meringankan beban peniaga. Inisiatif yang bermula 13 Februari hingga 31 Mac ini juga memberi peluang kepada peniaga untuk membuat bayaran balik dalam tempoh hingga tujuh tahun.
Agrobank sendiri berkata tujuan Agrobazar Ramadan ini adalah untuk membiayai perbelanjaan kos operasi atau pembelian aset tetap bagi keperluan yang merangkumi pelbagai aktiviti perniagaan yang dijalankan sepanjang bulan puasa.
Usaha yang dilakukan oleh Agrobank ini dilihat bertepatan dengan misi dan visi institusi tersebut untuk menyokong usahawan, bukan sahaja dalam bidang pertanian malah perniagaan-perniagaan mikro.
Perlu ditekankan juga bahawa pembiayaan tersebut boleh menjadi batu loncatan untuk peniaga-peniaga mengembangkan perniagaan mereka walaupun selepas bulan Ramadan.
Tuntasnya, diharapkan lebih banyak institusi yang tampil menyokong peniaga-peniaga kecil agar pertumbuhan ekonomi kita juga semakin baik.