Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem (SDK) Beri Manfaat Kepada Anak-Anak Warga Kementerian Pertahanan
Kuala Lumpur, 13 Mac 2025 – Timbalan Menteri Pertahanan, YB Adly Zahari telah menyempurnakan Majlis Peluncuran Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem (SDK) Sekolah Kebangsaan Kementah (SK Kementah). Di dalam majlis tersebut, YB Timbalan Menteri Pertahanan telah merasmikan Affin Digital Space SK Kementah iaitu sebuah studio teknologi layar hijau (green screen) untuk kegunaan pelajar dan pendidik SK Kementah melaksanakan program-program media dengan kandungan kreatif.
Affin Digital Space SK Kementah adalah merupakan inisiatif Kementerian Pertahanan ke arah membudayakan teknologi kreatif dikalangan anak-anak Warga Kerja Pertahanan (WKP). Ia menyokong Dasar Pendidikan Digital yang telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2023 dengan matlamat melahirkan murid fasih digital bagi memenuhi era digital. Selain itu ia juga mengupayakan pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan, memperkukuh infrastruktur dan kandungan pendidikan digital serta mengoptimumkan penglibatan aktif rakan strategik sebagai pemangkin pendidikan digital.
Sebagai permulaan, Kementerian Pertahanan telah menyasarkan tiga buah SDK sebagai projek rintis dengan kerjasama rakan-rakan strategik iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia dan Affin Bank Berhad. Dua buah sekolah lagi yang terlibat dalam program ini ialah Sekolah Kebangsaan TUDM, Selangor dan Sekolah Kebangsaan Sir Sultan Ibrahim, Johor.
Semasa majlis, Aqilah Nur Humaira binti Saiful Azri murid tahun 6 telah menyampaikan taklimat tentang penggunaan layar hijau manakala Nur Afiqah Nadia binti Azrul Nezam menunjukkan aplikasi suntingan dan pencahayaan dalam penghasilan video. Turut dipersembahkan proses rakaman video pendek (real live) oleh pasukan produksi TV Pusat Sumber Sekolah (TVPSS) yang turut mengundang YB Adly sebagai salah seorang tetamu jemputan dalam program bertajuk Pertahanan Bijak, Kewangan Cermat: Rahsia Masa Depan Hebat!
Di dalam majlis yang sama, YB Timbalan MENHAN telah menyaksikan sesi penyerahan cek replika oleh Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad, Yang Berbahagia Tuan Haji Musa Abdul Malek kepada Guru Besar SK Kementah, Encik Mohd Rizan bin Haji Baba. Penyerahan cek replika tersebut adalah simbolik kepada sumbangan dari pihak Affin Bank Bhd kepada pihak sekolah dalam merealisasikan penubuhan Affin Digital Space SK Kementah. Ia memperlihatkan usaha Kementerian
Pertahanan menyokong Fokus 4: Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan – Perutusan Tahun Baharu Menteri Pertahanan 2025 serta selaras dengan pelbagai agenda nasional termasuk agenda Membangun Negara MADANI dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara serta cabaran dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP)
Turut hadir dalam Majlis Peluncuran Program Digitalisasi Sekolah Dalam Kem Sekolah Kebangsaan Kementah pada pagi ini ialah oleh Pengerusi Affin Islamic Bank Berhad; Yang Berbahagia Tuan Haji Musa Abdul Malek dan Guru Besar SK Kementah; Encik Mohd Rizan bin Haji Baba.