Ramai Terkejut Lihat Penampilan Terkini Enot
Pelakon dan pelawak terkenal, Enot atau nama sebenarnya Aliza Abdullah, mencuri perhatian ramai apabila tampil dengan tubuh yang lebih langsing.
Dia mendedahkan bahawa perubahan fizikalnya bukanlah hasil pembedahan, tetapi disebabkan amalan pemakanan dan gaya hidup sihat.
Menurut Enot, dia berjaya menurunkan berat badan secara semula jadi dengan tidak mengambil nasi selama setahun, mengelakkan gula serta bersenam.
Elak pembedahan, fokus kaedah semula jadi
Sebagai bekas pesakit kanser usus, Enot menegaskan bahawa dia tidak boleh menjalani sebarang prosedur yang melibatkan bahagian perut kerana ia berisiko tinggi terhadap kesihatannya.
“Gula pun saya tak ambil. Saya ambil gula titik (pemanis tanpa kalori). Kalau minum kopi saya buat tanpa gula, kopi pahit atau kopi O. Nasi pun saya tak ambil dan ikutkan betul-betul tak makan nasi adalah setahun.
“Saya bekas pesakit kanser usus. Usus saya tak boleh usik langsung, bermakna saya tempah maut kalau saya potong usus.
“Saya diminta menurunkan berat badan kerana mempunyai masalah sakit tulang belakang dan lutut. Tapi kena turunkan secara natural. Jadi saya buat ‘sit up’ 100 kali sebelum tidur, 100 kali selepas bangun,” katanya.
Tepis fitnah pembedahan bariatrik
Namun, tidak semua pihak memahami usaha keras yang dilakukan oleh pelawak berusia 46 tahun itu.
Ada segelintir individu yang menyebarkan dakwaan bahawa dia menjalani pembedahan bariatrik bagi menurunkan berat badan dengan cepat.
“Dulu saya pernah kurus tapi masa zaman sekolah. Itulah mereka cuma tahu asalkan kurus sahaja potong usus.
“Mereka tahu menfitnah tanpa bertanya. Banyak sangatlah duit saya nak potong usus (bariatrik). Hari tu masa bedah lutut pun saya minta bantuan orang. Kelakar,” ujarnya.
Selain menjaga pemakanan dan bersenam, Enot turut berkongsi bahawa dia mengamalkan minuman berasaskan bahan semula jadi bagi mengekalkan kesihatan badan.
“Saya juga suka membaca dan mengamalkan pengambilan jus termasuk lemon serta nanas yang dikisar sendiri untuk membuang angin dalam badan,” katanya.
Minggu lalu, Enot memuat naik sekeping foto yang memperlihatkan perubahan drastik dirinya, di mana dia kini kelihatan lebih ramping dan anggun.
Penampilannya itu bukan sahaja mencuri perhatian ramai, malah turut menyerlahkan kejelitaannya.
Untuk info, Enot berjaya menurunkan berat badan daripada hampir 100 kilogram kepada 75 kilogram.
BACA: Raja Charles III Layan Lagu Siti Nurhaliza
BACA: Penyanyi Korea Selatan, Choi Wheesung Meninggal Dunia
BACA: Kartunis, Azmi Hussin Meninggal Dunia
Sumber: Astro Gempak