Siakap Keli
bergurau beg ada bom
Kredit: Bernama

Bergurau Beg Rakan Ada Bom Di Lapangan Terbang, Warga Emas Didenda RM100

Bergurau Beg Rakan Ada Bom Di Lapangan Terbang, Warga Emas Didenda RM100

BALIK PULAU, 14 Mac (Bernama) — Gara-gara bergurau beg rakan mengandungi bom di lapangan terbang, seorang lelaki warga emas didenda RM100 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggugat ketenteraman awam, Selasa lepas.

Mengikut pertuduhan, tertuduh, 64, didakwa dengan sengaja memaklumkan seorang petugas Malaysia Airlines bahawa terdapat bom dalam beg rakannya dan tertuduh mengetahui bahawa kata-kata itu mungkin boleh menggugat ketenteraman awam.

Peniaga itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas pada 10.30 malam, 11 Mac lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.

Tertuduh membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R Lushani manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Hazarul Iqram Rozahan.

Pada Rabu lepas, Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam dilaporkan berkata seorang lelaki tempatan secara berseloroh mendakwa bagasi milik rakannya yang berusia 60 tahun mengandungi bom ketika pemeriksaan barang di kaunter daftar masuk LTAPP bagi menaiki penerbangan ke China.

Bagaimanapun, Sazalee berkata pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada bahan berbahaya dijumpai dalam bagasi mereka, namun kedua-duanya direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

BACA: Polis Tembak Mati Tiga Penjenayah Warga Asing Di Sepang

Sumber: Bernama

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.