Siakap Keli
GIG CARUM PERKESO

Hanya 26 Peratus Daripada 1.16 Juta Penggiat Gig Carum PERKESO

Hanya 26 Peratus Daripada 1.16 Juta Penggiat Gig Carum PERKESO

KUALA LUMPUR: Liputan perlindungan sosial dalam kalangan penggiat gig disifatkan masih rendah apabila sekadar mencatatkan kadar 26 peratus berbanding  1.16 juta individu yang bekerja dalam sektor berkenaan di seluruh negara.  

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, berkata ia mengundang  kebimbangan terhadap kelangsungan kehidupan memandangkan mereka berdepan  pelbagai risiko, termasuk pendapatan tidak tetap apabila ditimpa kemalangan.  

Beliau menzahirkan kegusaran sedemikian susulan perangkaan semasa yang  menunjukkan sektor pengangkutan barangan atau makanan merekodkan kadar  tuntutan tertinggi faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). 

“Jika diteliti data Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) PERKESO,  pencarum bagi sektor pengangkutan barangan atau makanan terdiri daripada  123,173 individu iaitu 40.7 peratus berbanding jumlah keseluruhan 302,414  individu. 

“Dari segi faedah, sejumlah RM8.98 juta disalurkan kepada pencarum di sektor ini  sepanjang 2024, dengan bilangan tuntutan mencecah 1,535 kes atau 32 peratus daripada jumlah keseluruhan, tahun lalu.  

“Justeru, liputan perlindungan sosial yang sudah dijadikan mandatori bagi sektor ini  wajar lebih meluas bagi memastikan kelangsungan sosioekonomi mereka tidak  terjejas andai ditimpa bencana kerja,” katanya pada ucaptama Majlis Pemeteraian  Memorandum Persefahaman (MoU) Antara PERKESO dan foodpanda di Menara  PERKESO Kuala Lumpur, hari ini.  

MoU berkenaan ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan  PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Urusan  foodpanda Malaysia, Tan Ming Luk, sambil disaksikan Steven Sim dan Pengarah  Operasi foodpanda Malaysia, Shubham Saran.  

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal. 

Antara inti pati MoU adalah tajaan RM200,000 dari foodpanda bagi membiayai baki 10  peratus caruman SPS Padanan Caruman 2.0 yang bakal memanfaatkan lebih 8,000  penghantar foodpanda sekali gus menjamin aspek kebajikan mereka. 

Steven Sim berkata inisiatif foodpanda ini harus diteladani pelbagai syarikat di sektor  sama kerana selain mengutamakan keuntungan, pengendali platform juga wajar  mengimbangi keperluan untuk membela nasib rakyat Malaysia yang menjana  pendapatan di sektor tidak formal.  

“Tahun lepas, daripada RM100 juta peruntukan diberikan, kerajaan menyuntik  peruntukan tambahan RM86.2 juta untuk SKSPS demi memastikan tiada yang  terpinggir daripada mendapat manfaat perlindungan sosial,” katanya.  

Sementara itu, Ming Luk berkata, MoU berkenaan adalah cerminan komitmen  foodpanda ke arah menyediakan perlindungan sosial lebih menyeluruh untuk  penunggang p-hailing di bawah platformnya.  

Foodpanda juga komited untuk meningkatkan taraf hidup rakan penghantaran melalui  program panda hearts, bertujuan memperkasa dan menyokong rakan penghantar  dalam lima bidang teras iaitu keselamatan, kesejahteraan, pembangunan peribadi,  komuniti dan faedah kebajikan. 

“Di foodpanda, rakan penghantar adalah nadi operasi syarikat dan mereka bukan  sekadar penghantar, tetapi tulang belakang platform yang memastikan jutaan  pelanggan di seluruh negara menerima barangan tepat pada masanya. 

“Setinggi terima kasih kepada Menteri KESUMA, Steven Sim dan pengurusan tertinggi  PERKESO, Dato’ Sri Subahan dan Dato’ Sri Dr Mohammed Azman kerana terus  berdedikasi dalam mengukuhkan perlindungan sosial untuk pekerja gig,” katanya. 

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.