Arwah Abang Lemas Dalam Operasi Menyelamat, Adik Teruskan Legasi Sebagai Bomba
Kehilangan bukan satu halangan, seorang gadis tekad meneruskan legasi arwah abangnya sebagai pegawai bomba.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyiarkan rakaman video sesi pemakaian beret buat Pegawai Bomba Intan Norhafiza Wan Ibrahim yang mengikut jejak langkah arwah abangnya, Allahyarham Izatul Akma Wan Ibrahim hari ini.
Pemakaian beret itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah JBPM, Dato Ts Nor Hisham Mohammad itu berlangsung pada 16 Mac di Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Marang, Terengganu.
“Hari ini menjadi saksi di mana Pegawai Bomba Intan Norhafiza Wan Ibrahim melangkah sebagai srikandi wira merah meneruskan legasi abang beliau,” kongsi JBPM.
Menyarungkan seragam celoreng jingga, wanita berkenaan menerima tauliah menjadi sebahagian daripada keluarga besar jabatan tersebut selepas menamatkan latihan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan dan Kursus Sijil Sains Kebombaan JBPM.
Turut menghadiri majlis berkenaan, ibu kepada Intan kelihatan sebak tatkala gadis berkenaan menghulurkan sejambak bunga. Suasana muram menyelubungi majlis apabila kisah tragedi yang menimpa keluarga ini dikenang kembali ketika persembahan deklamasi sajak.
https://www.facebook.com/reel/2424783007868209
Sebelum ini, negara digemparkan dengan kejadian anggota bomba yang lemas ketika menyelamatkan mangsa di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada 2018. Allahyarham dilaporkan lemas bersama lima lagi anggota bomba iaitu Mohd Fatah Hashim, 34, Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.
Menurut laporan Bernama, kejadian tersebut berlaku sekitar jam 9.15 malam apabila Allahyarham bersama lima lagi anggota bomba ditugaskan untuk menjejaki seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong tersebut.
Namun, kesemua mereka disahkan lemas akibat terbelit tali yang dipasang antara satu sama lain apabila arus deras tiba-tiba muncul.
Bertugas sebagai ahli Pasukan Penyelamat Di Air, Allahyarham pernah berhasrat untuk menyertai pasukan payung terjun JBPM. Hasrat Allahyarham itu disampaikan oleh ibunya, Hanipah Essa, 56 tahun kepada Bernama.
“Beliau (Allahyarham) telefon saya menyatakan hasrat untuk menyertai pasukan itu, namun saya tidak mengizinkan kerana saya khuatir pasukan itu bahaya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, setelah tidak mendapat keizinan menyertai pasukan tersebut, Allahyarham membuat keputusan untuk menyertai Pasukan Penyelamat Di Air.
“Dia menyertai pasukan itu kerana meminatinya malah suka bermain air, jika cuti dan banjir di kampung ini,” kongsinya lagi.
Sebagai seorang yang ceria, Hanipah berkata Allahyarham sangat rapat dengan anggota keluarga dan rakan-rakan di kampung.
Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bechah Kaki.
BACA: Kak Cik Yah: Sensasi TikTok Pada Usia 75, Mahu Kolaborasi Dengan Khairul Aming
BACA:Enam Anggota Bomba Mati Syahid, Mereka Adalah Insan Terpilih – Mufti Wilayah
Sumber: Jabatan Bomba , Bernama