Siakap Keli
Bank Rakyat Sedia Pelbagai Ganjaran Istimewa Sepanjang Ramadan, Perkasa Pengalaman Pelanggan
Gambar Hiasan

Bank Rakyat Sedia Pelbagai Ganjaran Istimewa Sepanjang Ramadan, Perkasa Pengalaman Pelanggan

Bank Rakyat Sedia Pelbagai Ganjaran Istimewa Sepanjang Ramadan, Perkasa Pengalaman Pelanggan

KUALA LUMPUR, 19 MAC 2025 – Sempena Ramadan kali ini, Bank Rakyat membawakan pelbagai inisiatif bermakna dalam satu acara strategik yang diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat hari ini, merangkumi program penyampaian hadiah eksklusif bagi menghargai pelanggan setianya, usaha bagi menyokong usahawan dan koperasi serta pengenalan produk perbankan inovatif baharu. 

Dalam Majlis Hulurkan Salam tersebut, Bank Rakyat menghargai seramai 388 orang pemenang kempen yang merupakan pelanggan produk serta perkhidmatan perbankannya menerusi hadiah keseluruhan melebihi RM1.1 juta. Seramai 73 pemenang Kempen Mega Pembiayaan Peribadi-i Fasa Kedua yang berlangsung dari 1 Disember 2024 hingga 28 Februari 2025 lalu membawa pulang hadiah keseluruhan berjumlah RM400,000, manakala 315 lagi pemenang Kempen Emas 2 Kilo yang dianjurkan bermula 7 September 2024 hingga 31 Disember 2024 memenangi hadiah keseluruhan berupa dua kilogram emas. 

Bagi Kempen Mega Pembiayaan Peribadi-i Fasa Kedua, pemenang hadiah utama, Reeta A/P Logenazan yang berasal dari Kedah memenangi sebuah kereta elektrik BYD Atto 3, manakala tempat kedua dimenangi oleh Cecelia Yun Anak Mandi dari Sarawak yang membawa pulang sebuah motosikal BMW CE 04. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Mohd Norhisyam Mustafa dari Sabah yang memenangi pakej menunaikan umrah atau percutian untuk dua orang bernilai RM20,000. 

Selain itu, pemenang Kempen Emas 2 Kilo Azizah Mohd Isa dari Kedah yang merupakan pemenang hadiah utama memenangi 500 gram jongkong emas, manakala tempat kedua dimenangi oleh Azizah Jantan dari Melaka yang membawa pulang 150 gram jongkong emas. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Nik Maizan Salleh dari Kelantan yang memenangi 100 gram jongkong emas. 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria dalam ucapannya semasa pelancaran Bazar Riang Raya berkata, “Kempen ini diadakan bagi menghargai sokongan dan kesetiaan pelanggan sepanjang 70 tahun penubuhan Bank Rakyat di samping menawarkan pelbagai hadiah menarik bagi memenuhi keperluan dan kehendak kewangan pelanggan.”

“Sesungguhnya, Bank Rakyat sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memberi semula kepada masyarakat. Semoga dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan sesama insan tetapi juga membawa sinar keceriaan kepada mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan dan Syawal ini,” katanya. 

Pada majlis tersebut, Bank Rakyat turut memperkenalkan produk inovatif baharu, Touch Card menerusi Kad Debit-i dan Kad Kredit-i Bank Rakyat iaitu kad perbankan patuh Syariah yang direka khas untuk membantu pengguna kurang upaya penglihatan melakukan transaksi dengan lebih mudah dan selamat. 

Bank Rakyat

Menerusi inisiatif ini, Bank menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) yang mana 30 penerima pertama Touch Card yang merupakan ahli PERTIS menerima insentif berjumlah RM200 untuk setiap seorang menerusi Kad Debit-i Bank Rakyat yang akan tersedia pada April 2025. 

Di samping itu, Bank Rakyat turut menjalin kerjasama dengan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) bagi memperkasakan koperasi di seluruh negara. “Melalui MoU yang dimeterai dengan IKMa, IKMa akan memainkan peranan utama dalam memberi bimbingan berkaitan operasi dan tadbir urus koperasi, manakala Bank Rakyat akan melengkapkan usaha ini dengan latihan pengurusan kewangan serta penawaran pembiayaan kepada koperasi yang layak. Usaha ini membuktikan komitmen kami dalam memastikan koperasi kekal berdaya saing dan memberi impak positif kepada ekonomi tempatan,” ujar Nor Haimee. 

Selain itu, Bank Rakyat turut menjalinkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM). Menerusi kerjasama ini, Bank Rakyat menawarkan pembiayaan bernilai RM250 juta kepada KPDRM. Dengan lebih 116,000 ahli, pembiayaan ini akan membuka ruang dan peluang untuk menembusi pasaran koperasi dengan lebih meluas. 

Sementara itu, Bank Rakyat turut melancarkan semula program BRKOPLestari-i yang direka khusus untuk memberi nafas baharu kepada koperasi mikro, kecil dan sederhana. Program ini bertujuan membantu koperasi yang selama ini tergolong dalam kategori kurang (underserved) dan tidak (unserved) mendapat perhatian agar mereka dapat berkembang dan terus berdaya saing dalam ekosistem koperasi negara.

“Dengan penambahbaikan yang lebih menyeluruh, BRKOPLestari-i kini menawarkan pembiayaan sehingga RM500,000, kaedah jaminan yang lebih fleksibel serta pelbagai latihan komprehensif yang merangkumi pengurusan aset berkualiti oleh AKPK, pemasaran digital, jualan dan kursus lain yang relevan. Inisiatif ini bukan sekadar menyediakan akses kepada modal, tetapi turut membimbing koperasi ke arah pertumbuhan yang lebih progresif dan lestari,” tambah beliau. 

Bazar Riang Raya 2025 yang berlangsung selama empat hari bermula 17 hingga 21 Mac 2025 ini menghimpunkan lebih 100 gerai usahawan. Karnival ini yang dibuka bermula jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk menjana pendapatan dengan memperkenalkan produk keluaran mereka, di samping meneroka peluang pasaran serta jaringan kerjasama baharu. 

“Sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Bank Rakyat sentiasa peka dan prihatin terhadap kemampanan dan kesejahteraan usahawan terutamanya sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mengharungi cabaran ekonomi masa kini. Semoga penganjuran karnival ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat usahawan untuk terus memajukan perniagaan mereka,” kata Nor Haimee. 

Maklumat lanjut berhubung inisiatif Bank Rakyat boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.bankrakyat.com.my serta media sosial rasmi @mybankrakyat. Selain itu, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1-300-80-5454 atau berkunjung ke cawangan yang berhampiran. 

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.