Ikhlas.com Lancar Qashwa, Pacu Misi Bawa 1,000 Asnaf Tunai Umrah
KUALA LUMPUR, 19 Mac 2025 – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) meraikan ulang tahun ke-5 dengan penuh kesyukuran, pemberian dan pertumbuhan dengan melancarkan Qashwa untuk memacu misi membawa 1,000 jemaah asnaf menunaikan Umrah.
Kenderaan jenis Mercedes S124 300TE 1987 yang ditaja bersama oleh cabang perniagaan di bawah Capital A Berhad iaitu AirAsia, MOVE, Santan, Teleport, Outclass dan BigPay akan menjelajah ke seluruh Malaysia dalam misi mencari bakal jemaah untuk kempen 1,000 Umrah Asnaf.
Ketua Pegawai Eksekutif ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin berkata: “Sempena menyambut kemuliaan bulan Ramadan dan Nuzul Al-Quran, kami amat berbesar hati kerana dapat menyambut ulang tahun kelima dengan penuh kesyukuran, pemberian dan pertumbuhan, selari dengan pencapaian ikhlas.com dan kesucian hari yang penuh barakah ini.
“Bagi meraikan sambutan istimewa ini, ikhlas.com menyeru kepada semua untuk turut serta dengan kapasiti masing-masing untuk merealisasikan misi membawa seramai 1,000 Tetamu Allah untuk menunaikan Umrah. Jemaah ini sangat istimewa kerana bukan sahaja memerlukan bantuan fizikal malah rohani juga, jadi kami memerlukan sokongan semua pihak agar lebih ramai dapat menyumbang kepada misi istimewa ini.”
Ikhlas bercakap selepas melancarkan Qashwa dan 1,000 Umrah Asnaf pada sambutan Ulang Tahun ke-5 ikhlas.com yang turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Capital A, Datuk Kamarudin Meranun dan Lembaga Pengarah Capital A, Dato’ Abdul Aziz Abu Bakar dan Brigedier Jeneral (B) Fadzillah Abdullah.
Seiring dengan sambutan itu, ikhlas.com turut menawarkan hadiah bernilai RM5,000,000.00 termasuk 10,000 unit baucar diskaun Umrah RM200, cenderamata eksklusif, kitab dan banyak lagi hadiah untuk diagihkan sepanjang tahun ini.
Peserta hanya perlu mengikuti akaun media sosial ikhlas.com (@ikhlasdotcom, @ikhlasdotcom.umrah dan @ikhlasdotcom.travel); ‘like’ dan komen ‘ikhlas.com 5 tahun’ pada hantaran tersebut dan kongsi hantaran itu di media sosial mereka untuk peluang memenangi hadiah menarik mulai sekarang hingga 31 Disember 2025.
Dilancarkan semasa pandemik pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform kembara dan gaya hidup Islam Capital A yang direka khusus untuk membantu umat Islam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mudah. Selain ikhlas.com Umrah dan Travel (kembara mesra Muslim) dengan kerjasama anak syarikat penerbangan, AirAsia X, ikhlas.com juga memudahkan umat Islam menunaikan Zakat, Sadaqah, Aqiqah, Fidyah, Qurban dan banyak lagi.
Untuk maklumat lanjut, layari ikhlas.com atau muat turun aplikasi mudah alih melalui Apple App Store dan Google Play Store.