KPDN Laksanakan Beberapa Inisiatif Tangani Kos Sara Hidup Sempena Hari Raya Aidilfitri
Bersempena sambutan Hari Raya Puasa 2025, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan beberapa program khusus yang terkait dengan ikhtiar kos sara hidup. Antaranya, pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) Aidilfitri dan Program Servis Ihsan Madani@Petronas AutoExpert (SIM@PAX). Selain itu, KPDN turut melaksanakan langkah intervensi pemberian insentif khas kepada syarikat pembungkus minyak masak sawit tulen kemasan botol dalam memastikan bekalan minyak masak kemasan botol stabil menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti.
SHMMP Hari Raya Puasa 2025 akan berkuat kuasa dari 24 Mac hingga 7 April 2025. Tempoh pelaksanaan adalah selama 15 hari iaitu 7 hari sebelum perayaan, 1 hari semasa perayaan dan 7 hari selepas perayaan. Kementerian telah mengenal pasti sebanyak 26 jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim ini pada tahun ini berbanding 22 barangan semasa pelaksanaannya pada tahun 2024.
Sebanyak 4 barangan yang ditambah di seluruh negara adalah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), lobak merah dan santan. Senarai barangan yang terlibat di bawah skim adalah:
- Sawi Hijau
- Timun
- Tomato
- Cili Merah
- Kacang Panjang
- Lobak Merah
- Bawang Kuning Besar
- Bawang Merah Besar2
- Bawang Kecil Merah India
- Bawang Kecil Merah India (Ros)
- Bawang Putih (China)
- Ubi Kentang Import (China)
- Halia Tua Import
- Kacang Tanah
- Cili Kering Kerinting
- Daging Kerbau Import (India) – (Harga maksimum di Semenanjung Malaysia, Sabah dan WP Labuan sahaja)
- Daging Lembu Import – (Harga maksimum di Sarawak sahaja)
- Daging Lembu Tempatan (kecuali daging batang pinang) – (Harga maksimum di Semenanjung Malaysia dan Sabah sahaja)
- Ikan Aya atau Tongkol – (Harga maksimum di Pahang, Terengganu dan Kelantan sahaja)
- Ikan Demuduk, Sagai, Cermin atau Cupak – (Harga maksimum di Sabah sahaja)
- Ikan Kembung termasuk Ikan Mabung (8-12 ekor sekilogram)
- Ikan Selayang (8-12 ekor sekilogram)
- Kubis Bulat Import (Indonesia dan China, tidak termasuk kubis Beijing)
- Kelapa Biji – (Harga maksimum di peringkat borong sahaja)
- Kelapa Parut
- Santan
Pelaksanaan skim pada kali ini adalah bersesuaian bagi menjamin suatu tempoh yang wajar dan mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan komuniti peniaga. Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama.
Analisis yang dilakukan mendapati harga beberapa barang yang di kawal memberi impak positif dalam aspek kos sara hidup kepada pengguna ketika berbelanja untuk menyambut Hari Raya Puasa kelak. Selain itu, penentuan harga ini dibuat setelah mengambil kira pandangan dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan berkaitan dan pemain-pemain industri.
Harga maksimum peringkat pemborong dan peruncit yang telah ditetapkan untuk skim kali ini boleh disemak melalui laman web KPDN di www.kpdn.gov.my.
Pegawai-pegawai Penguat Kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan sepanjang tempoh masa skim bagi memastikan kepatuhan peniaga kepada perundangan berkaitan.
Kementerian akan terus menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.
Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya para peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan perniagaan yang beretika.
Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya. Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:
(i) Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
(a) Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau di kompaun sehingga RM50,000; dan
(b) Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau di kompaun sehingga RM250,000;
(ii) kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
(a) individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau di kompaun sehingga RM5,000; dan
(b) syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau di kompaun sehingga RM10,000.
KPDN meminta kerjasama orang ramai untuk membuat aduan salah laku oleh mana-mana pihak berhubung ketidakpatuhan ke atas skim bersama butiran aduan yang lengkap melalui saluran berikut:
i. WhatsApp 019-848 8000;
ii. Call Centre 1-800-886-800;
iii. E-mel [email protected]; dan
iv. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN