MyWaqafPTPTN Bantu Mahasiswa Meneruskan Pengajian Di IPT
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited memastikan tiada pelajar yang tercicir ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kerana masalah kewangan. PTPTN dengan kerjasama Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah melancarkan dana wakaf pendidikan tinggi iaitu myWaqafPTPTN pada 11 Mac 2024. Inisiatif ini sebagai salah satu usaha mempelbagaikan sumber dana pembiayaan PTPTN bagi membantu mahasiswa dalam bentuk biasiswa pendidikan tinggi.
Sejak diperkenalkan, seramai 58 orang pelajar telah menerima biasiswa myWaqafPTPTN melibatkan peruntukan berjumlah lebih RM717,000.00. Seterusnya pada hari ini, seramai 24 orang pelajar akan menerima biasiswa myWaqafPTPTN dengan peruntukan berjumlah lebih RM266,000.00. Ini menjadikan keseluruhan pelajar yang menerima biasiswa myWaqafPTPTN seramai 82 orang dengan peruntukan berjumlah lebih RM984,000.00.
Penyerahan biasiswa myWaqafPTPTN kepada 8 orang pelajar pada hari ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN semasa Majlis Iftar PTPTN Bersama Media di sekitar Kuala Lumpur. Turut hadir YBrs Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Dr. Ridzwan bin Bakar, Ketua Pegawai Eksekutif YWM serta Pengurusan PTPTN dan YWM.
Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “myWaqafPTPTN mensasarkan sumbangan wakaf tunai daripada Kerajaan, syarikat-syarikat korporat, badan berkanun, badan bukan Kerajaan (NGO) dan orang awam serta entiti yang sah di sisi undang-undang sama ada dari dalam atau luar negara. Setiap sumbangan akan layak mendapat potongan cukai 10% daripada pendapatan agregat di bawah subseksyen 44 (11C) Akta Cukai Pendapatan 1967.”
“Alhamdulillah, semenjak dilancarkan sehingga Februari 2025, sumbangan yang telah diterima berjumlah lebih RM1,188,000.00. Selain itu, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ketika Majlis Peluncuran Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2025 pada Februari lalu telah mengumumkan sumbangan berjumlah RM30 juta kepada myWaqafPTPTN bagi menyokong program ini. PTPTN merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri dan para penyumbang atas keprihatinan ini,” tambah beliau.
“Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada pendeposit. Antaranya, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah,” jelas beliau lagi.
Dalam majlis yang sama, PTPTN turut meraikan pengamal-pengamal media sebagai tanda penghargaan dan penghormatan PTPTN atas peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat berkenaan PTPTN.
Seiring usaha pendigitalan kerajaan, PTPTN sentiasa komited dalam mempergiatkan strategi dan kempen bagi menggalakkan penggunaan aplikasi myPTPTN untuk urusan yang lebih cepat, mudah dan selamat. Sehingga 31 Disember 2024, bilangan pengguna myPTPTN telah mencapai seramai 2.33 juta pengguna.
PTPTN sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi utama negara mendukung misi untuk turut memperkasakan amalan penabungan bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman sekali gus memastikan anak-anak tidak dibebani hutang apabila tamat pengajian. Sehubungan itu, sokongan padu daripada pelbagai pihak amatlah diperlukan agar PTPTN dapat terus berdiri demi kelestarian pendidikan tinggi negara.