Bank Rakyat Perkasa Komuniti Menerusi Inisiatif Pengimarahan Masjid Dan Menyantuni Golongan Asnaf
KUALA LUMPUR, 22 MAC 2025 – Bank Rakyat hari ini menyalurkan sumbangan keseluruhan RM190,000 menerusi inisiatif pengimarahan 16 buah masjid serta bantuan kewangan melibatkan 300 orang asnaf terpilih di sekitar kawasan Sungai Buloh.
Setiap masjid menerima sumbangan RM10,000 bagi menganjurkan aktiviti pengimarahan sepanjang Ramadan dan Syawal ini, manakala asnaf yang terpilih masing-masing menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 setiap seorang bagi membeli barangan keperluan sempena musim perayaan yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Selain sebagai platform untuk menyatukan masyarakat, masjid juga memberikan banyak manfaat kepada masyarakat di sekitarnya, seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan dan juga sebagai pusat rujukan. Bahkan, fungsinya juga boleh dikembangkan sebagai institusi yang membantu komuniti dari aspek sosioekonomi,” ujar Ahmad Shahril Mohd Shariff, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat semasa program Penyerahan Sumbangan Ihya Ramadan serta majlis berbuka puasa yang diadakan di Masjid Kota Damansara hari ini.
Turut hadir, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Manfaat daripada sumbangan ini diharap dapat membantu masjid-masjid ini menghidupkan lagi aktiviti pengimarahan dengan melibatkan lebih ramai lagi komuniti setempat. Manakala, sumbangan ihsan kepada asnaf yang terpilih diharapkan dapat membantu mereka membuat persiapan sempena Aidilfitri nanti.”
“Melalui program Jangkauan Komuniti Madani Bank Rakyat, kami telah dapat menyantuni komuniti melalui pelbagai program yang dianjurkan di seluruh negara. Seramai lebih 11,000 penerima telah diraikan, antaranya melalui program Imarah Ramadan, Bazar Kasih Ramadan, sumbangan kepada Rumah Anak Yatim dan Rumah Kanak-Kanak, edaran bubur lambuk serta pek berbuka puasa kepada pengamal media,” tambah Ahmad Shahril.
Di samping itu, beliau berkata, sejajar dengan tema ‘Hulurkan Salam’ sempena sambutan Ramadan dan Syawal Bank Rakyat pada tahun ini, serta nilai keprihatinan dan ihsan dalam konsep Malaysia Madani, Bank Rakyat menyeru semua pihak untuk saling berganding bahu bagi menyantuni dan menghulurkan bantuan, serta merayakan kegembiraan dan keberkatan bulan Ramadan bersama-sama mereka yang memerlukan.