Gerakan Alam Sekitar Terbesar Di Dunia, Earth Hour Kembali Dengan Perpaduan Global Terbesar Selama 60 Minit Bagi Meningkatkan Kesedaran Terhadap Isu Perubahan Iklim Dan Kelestarian Alam Sekitar
Petaling Jaya, 22 Mac 2025 – Dari jam 8:30 malam pada 22 Mac 2025, WWF’s Earth Hour, kembali untuk menggerakkan orang ramai di seluruh dunia, merentasi 190 negara dan wilayah, sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan kesedaran berkenaan kehilangan biodiversiti dan perubahan iklim.
Sejak bermula pada tahun 2007, Earth Hour dikenali dengan momen “mematikan lampu”, di mana rumah-rumah dan mercu tanda global di seluruh dunia termasuk menara berkembar ikonik di Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain di Malaysia, Sydney Opera House, Beijing Phoenix Center, Taipei 101, Menara Eiffel, dan Empire State Building memadamkan lampu mereka selama 60 minit untuk menunjukkan sokongan simbolik terhadap bumi selain meningkatkan kesedaran tentang isu-isu alam sekitar yang mempengaruhinya.
Bagi meraikan Earth Hour 2025, WWF-Malaysia menganjurkan Earth Hour #MYTogetherPossible Youth Summit 2025, dengan kerjasama Sunway Centre for Planetary Health, Universiti Sunway dengan tujuan memperkasakan generasi muda dengan tindakan kolektif ke arah masa depan yang mampan.
Pengerusi WWF-Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar menyampaikan ucapan alu-aluan dan merasmikan Sidang Kemuncak Belia Earth Hour #MYTogetherPossible yang buat julung kalinya menampilkan perbincangan serta bengkel interaktif, dan platform untuk bertukar idea dengan panelis daripada pelbagai kepakaran berkaitan pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar.
Dalam ucapan aluannya, Tan Sri Abdul Wahid berkata penglibatan belia adalah penting untuk masa depan yang mampan, kerana mereka membawa idea-idea inovatif dan baharu selain mempunyai motivasi dan komitmen yang tinggi terhadap alam semula jadi.
Katanya, dengan menyokong suara golongan muda, mereka boleh mencipta dunia yang lebih mampan untuk semua. Beliau berharap sidang kemuncak ini dapat meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan penyertaan belia dalam usaha pemuliharaan alam semula jadi sekaligus memacu Malaysia menjadi negara yang mampan menjelang 2030, yang merupakan matlamat gerakan belia #MYTogetherPossible WWF-Malaysia.
Earth Hour #MYTogetherPossible Youth Summit 2025 adalah kolaborasi pertama antara WWF-Malaysia dan Universiti Sunway. Presiden Sunway University, Profesor Sibrandes Poppema berkata, “Sunway University berbangga dapat bekerjasama dengan WWF-Malaysia untuk Earth Hour #MYTogetherPossible Youth Summit 2025. Inisiatif ini selaras dengan komitmen kami terhadap kelestarian dan kesihatan planet dengan memperkasakan pemimpin muda untuk mengambil tindakan bermakna.” Beliau menambah, “Earth Hour lebih daripada sekadar memadamkan lampu—ia adalah simbol tanggungjawab bersama, dan melalui pendidikan serta advokasi, kita dapat mendorong perubahan untuk planet kita.”
Earth Hour bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pemanasan global dan perubahan iklim yang telah mengubah dunia secara drastik sejak pergerakan ini bermula pada tahun 2007. Suhu bumi telah meningkat sekitar 1.1 darjah Celsius melebihi tahap sebelum perindustrian, dan dijangka meningkat melebihi had 1.5 darjah Celsius buat pertama kali dalam tempoh lima tahun akan datang.
Justeru, semua pihak termasuk individu, komuniti, perniagaan dan kerajaan perlu meningkatkan usaha untuk melindungi bumi daripada ancaman alam sekitar bagi memastikan suhu global berada di bawah ambang 1.5 darjah Celsius.
60 minit ‘mematikan lampu’ adalah lebih daripada sekadar acara kesedaran awam, ia merupakan satu gerakan sejak 18 tahun lalu yang memberi inspirasi serta mengingatkan orang ramai berkenaan tanggungjawab bersama untuk menjaga kelestarian alam sekitar demi masa depan yang lebih baik.