Siakap Keli
Video Raya PERKESO
Kredit: PERKESO

Video Raya PERKESO Curi Tumpuan, Sentuh Hati Ramai

Video Raya PERKESO Curi Tumpuan, Sentuh Hati Ramai

PERKESO curi tumpuan apabila berjaya menyentuh hati ramai menerusi pelancaran video raya 2025 bertajuk ‘Demi Kasih’, bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Mengangkat tema kekeluargaan, video tersebut menggambarkan realiti kehidupan generasi muda yang berhijrah ke bandar dan ‘cabaran’ hubungan mereka dengan keluarga di kampung.

Kisah penyesalan seorang anak

‘Demi Kasih’ membawa penonton menyelami kisah Hafiz, seorang anak yang telah lama menetap di bandar.

Tanpa disedari, sikapnya telah melukai hati ibu bapanya, Faridah dan Pak Karim, di kampung.

Ketika pulang menyambut Aidilfitri, Hafiz ‘dihantui’ kenangan zaman kanak-kanaknya di rumah kayu tempat dia dibesarkan.

Kenangan itu menjadi semakin mendalam apabila Hafiz cuba menghidupkan semula setiap nostalgia yang ada di rumah ibu dan ayahnya.

Warga maya kongsi rasa sebak

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa sebak dan tersentuh selepas menonton video raya ‘Demi Kasih’ itu.

Ternyata, ia berjaya mengetuk pintu hati ramai dengan mesej mendalam tentang kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa yang sering kita terlepas pandang.

“Begitu besarnya usaha memenuhi keinginan anak agar selesa di rumah. Namun, ingatlah, jangan sampai kita lupa menjaga rumah di kampung yang selama ini menjadi milik ibu bapa kita. Memang kadangkala terasa kurang selesa kerana kita sudah berkemampuan dan mampu memiliki rumah sendiri, tetapi jangan sesekali melupakan kasih sayang mereka yang membesarkan kita di rumah itu. Semoga kita semua dikurniakan rezeki dan peluang untuk menjaga kedua-dua ibu bapa kita,”

“Mesej sampai dan menyentuh hati. Hakikatnya, ibu dan ayah di kampung yang semakin menua juga semakin sensitif perasaannya. Setiap kata-kata yang kita ucapkan perlu disusun dengan baik agar tidak menyinggung hati mereka. Kadangkala, walaupun nada kita kedengaran lembut, namun tanpa sedar, kata-kata itu boleh menjadi tajam dan mengguris perasaan mereka. Semoga kita sentiasa diberi kebijaksanaan untuk menjaga hati dan perasaan kedua-dua ibu bapa selagi mereka masih ada,”

“Kadangkala, kita tidak menghargai sesuatu yang sudah ada di depan mata. Bila ia hilang, barulah kita tersedar, menyesal dan dihantui pelbagai rasa yang tak terungkap. Hargailah segala yang kita miliki, terutama sekali ibu bapa—mereka adalah anugerah yang tiada gantinya. Satu hari nanti, rasa bersalah dan penyesalan tidak lagi berguna apabila mereka sudah tiada di sisi. Selagi masih ada peluang, berbaktilah dan sayangilah mereka sebaik mungkin. Al-Fatihah (dibaca) buat semua insan yang telah pergi meninggalkan kita. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman,”

Mesej penting

Ketua Pegawai Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat PERKESO, Roshaimi Mat Rosely berkata, video raya tersebut menonjolkan anugerah penting iaitu ikatan erat sebuah keluarga yang tidak harus dipinggirkan.

“Musim perayaan ini, PERKESO membawakan sebuah kisah realiti yang sering berlaku dalam kalangan generasi muda hari ini.

“Video raya ini melambangkan kasih sayang ibu dan bapa terhadap anak tercinta hingga sanggup melakukan apa sahaja,” kata beliau. 

Dalam masa yang sama, Roshaimi menegaskan kepentingan skim perlindungan sosial PERKESO yang boleh membantu individu dan keluarga ketika ditimpa musibah.

“Hari ini terdapat pelbagai skim di bawah PERKESO kerana kami percaya seluruh rakyat Malaysia wajar dilindungi, bukan hanya majikan dan pekerja bahkan pekerja sendiri serta suri rumah juga layak menerima manfaat,” tambah beliau.

Untuk info, video raya #PERKESORaya2025 dilakonkan oleh barisan pelakon hebat – Johan As’ari, Jaja Iliyes, Zulkifli Ismail, Rosnah Johari, Hatta Henry dan Nina Fazurina.

Video tersebut boleh ditonton mulai 15 Mac 2025 di platform YouTube rasmi PERKESO, @PERKESOofficial.

Sehingga kini, video tersebut telah mencatat lebih 100,000 tontonan dalam tempoh 60 jam selepas pelancarannya.

Versi iklan di televisyen pula akan disiarkan bermula 24 Mac hingga 6 April 2025.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.