Amaran Hujan Berterusan Di Kelantan & Terengganu Ditamatkan
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengumumkan penamatan Amaran Hujan Berterusan pada tahap Waspada meliputi Kelantan dan Terengganu. Amaran yang dikeluarkan pada 12.45 tengah hari, 22 Mac 2025 itu ditamatkan berikutan keadaan cuaca yang semakin baik.
“Berdasarkan analisis model-model cuaca, cuaca dijangka bertambah baik dan tiada potensi hujan berterusan di negeri Kelantan dan Terengganu,” maklum jabatan berkenaan menerusi satu muat naik di laman Facebook.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan yang melibatkan beberapa kawasan di Johor, sebahagian Pahang, Sabah dan Sarawak. Susulan itu, kejadian banjir kilat dan banjir melanda beberapa kawasan sehingga menyebabkan ribuan warga yang berada di atas jalan raya dan kediaman terkesan.
Pagi ini, Bernama melaporkan mangsa banjir di Johor dan Sarawak semakin berkurangan manakala di Sabah, mangsa banjir semakin meningkat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, mangsa yang masih belum dibenarkan pulang ke kediaman ditempatkan di 24 pusat pemindahan sementara (PPS). Daerah yang terlibat termasuk Johor Bahru dengan jumlah mangsa 2,409 orang, Pontian seramai 552 mangsa dan Kluang dengan 487 mangsa. Di Batu Pahat pula, seramai 358 mangsa ditempatkan manakala di Kota Tinggi, hanya 87 mangsa masih berlindung.
Sementara itu, Sekretariat JPBN Sarawak melaporkan mangsa banjir berkurangan kepada 451 orang dengan penutupan PPS Balai Raya Song, Kapit susulan banjir yang semakin surut.
26 mangsa masih berlindung di Asrama Belia Kapit manakala 102 mangsa lagi di Dewan Suarah Kapit. PPS Dewan Komuniti Sibu Jaya masih menempatkan 49 mangsa sementara PPS Kompleks Sukan Kanowit seramai 189 mangsa dan PPS Dewan Serbaguna Selangau seramai 85 mangsa.
Di Sabah, status terkini menunjukkan peningkatan jumlah mangsa seramai 473 orang berbanding 304 mangsa petang semalam.
Seramai 168 orang ditempatkan di PPS Dewan DSP DUN Banir, 167 orang di Dewan Gereja St Beno Batu 58 dan 138 orang di Dewan Selangon menurut laporan JPBN Sabah.
“Terdapat penambahan mereka dipindahkan di PPS Dewan Gereja St Beno Batu 58 pada pagi ini menyebabkan jumlah dipindahkan meningkat. Lapan kampung terjejas akibat banjir di Beaufort,” menurut kenyataan JPBN Sabah.
BACA: Redah Banjir, Pemandu Treler Dipuji Tumpangkan Penunggang Motor
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) (1) (2), Bernama