Siakap Keli
Touch 'n Go dan WWF-Malaysia Memperkenalkan 'Charms for Change' Kempen Kesedaran untuk Pemuliharaan Hidupan Liar Malaysia
Gambar Hiasan

Touch ‘n Go dan WWF-Malaysia Memperkenalkan ‘Charms for Change’ Kempen Kesedaran untuk Pemuliharaan Hidupan Liar Malaysia

Touch ‘n Go dan WWF-Malaysia Memperkenalkan ‘Charms for Change’ Kempen Kesedaran untuk Pemuliharaan Hidupan Liar Malaysia

Kuala Lumpur, 24 Mac 2025 – Touch ‘n Go, dengan kerjasama WWF-Malaysia, telah memperkenalkan ‘Charms for Change’ – Touch ‘n Go Charm Wildlife Edisi 2025, koleksi edisi terhad yang dilengkapi teknologi NFC, menjadikan setiap transaksi tanpa tunai sebagai satu sumbangan bermakna kepada usaha pemuliharaan hidupan liar.

Touch ‘n Go, dengan lebih 35 juta kad aktif dalam edaran dan hampir 4 juta pengguna RFID, memanfaatkan platformnya untuk meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan hidupan liar—menunjukkan bagaimana teknologi dan pemuliharaan boleh bekerjasama untuk tujuan yang bermakna. Touch ‘n Go Charm Wildlife Edition 2025 bukan sekadar aksesori pembayaran—ia adalah simbol kesedaran dan tindakan untuk melindungi spesies hidupan liar terancam di Malaysia. Setiap charm disertakan dengan penanda buku khas yang memaparkan fakta penting mengenai spesies yang diwakilinya, membantu meningkatkan kesedaran dan mendidik rakyat Malaysia tentang kepentingan pemuliharaan.

Setiap charm yang direka khas ini melambangkan spesies yang sedang berdepan ancaman kepupusan—orangutan Borneo, harimau Malaya, gajah Borneo, dan penyu—yang merupakan simbol kepada kekayaan biodiversiti Malaysia. Sebahagian daripada hasil jualan charm ini akan digunakan untuk menyokong usaha pemuliharaan WWF-Malaysia, membantu perlindungan spesies ini dan habitatnya. Dengan menjadikan pemuliharaan hidupan liar sebahagian daripada transaksi harian tanpa tunai, Touch ‘n Go memberikan peluang baharu kepada rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada usaha pemuliharaan secara mudah, selesa, dan berkesan.

Pelancaran Touch ‘n Go Charm Wildlife Edition 2025 sempena bulan Ramadan menyentuh makna yang lebih mendalam kepada inisiatif ini. Sebagai bulan yang didedikasikan untuk refleksi, kemurahan hati, dan pemberian, Ramadan menyatukan rakyat Malaysia dalam menyokong tujuan yang bermakna. Kerjasama ini melangkaui sempadan komuniti, memberikan peluang untuk memberi semula kepada alam sekitar dan hidupan liar yang bergantung kepadanya.

Tan Sri Mohd Nasir Ahmad, Pengerusi Touch ‘n Go, berkongsi bagaimana inisiatif ini memberi makna baharu kepada hubungan antara teknologi kewangan dengan pemeliharaan hidupan liar. “Di Touch ‘n Go, kami percaya inovasi bukan sekadar untuk memudahkan kehidupan, tetapi perlu membawa perubahan yang bermakna. Touch ‘n Go Charm Wildlife Edition 2025 mencerminkan visi tersebut, sekali gus memudahkan rakyat Malaysia untuk menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar dalam kehidupan harian mereka. Charm ini bukan sekadar kaedah pembayaran, tetapi juga peringatan terhadap tanggungjawab kita bersama untuk melindungi spesies terancam di Malaysia. Pelancaran inisiatif ini pada bulan Ramadan menjadikannya lebih bermakna, kerana ia selari dengan nilai belas kasih dan kemurahan hati—bukan hanya sesama manusia, tetapi juga terhadap dunia yang kita diami. Dengan memiliki charm ini, rakyat Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian khazanah hidupan liar yang menjadi kebanggaan negara kita. Sekecil mana pun tindakan kita, jika dilakukan secara bersama, mampu mencetuskan perubahan yang besar dan berkekalan.”

Hidupan liar yang ditampilkan dalam koleksi Touch ‘n Go Charm Wildlife Edition 2025 memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan ekosistem semula jadi di Malaysia terus terpelihara. Orangutan Borneo, yang dikenali sebagai “tukang kebun hutan,” membantu penyebaran biji benih, sekali gus memastikan hutan hujan terus subur. Harimau malaya pula, sebagai pemangsa utama, memastikan kestabilan ekosistem dengan mengawal populasi mangsanya. Gajah Borneo, sering dipanggil “jurutera ekosistem,” membuka laluan dalam hutan tebal yang memanfaatkan pelbagai spesies lain. Manakala penyu membantu memastikan kawasan rumput laut dan terumbu karang kekal sihat, menyokong biodiversiti marin. 

Menekankan betapa pentingnya usaha pemuliharaan, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi WWF-Malaysia berkata, “Hidupan liar di Malaysia kini berdepan dengan ancaman yang semakin serius akibat kehilangan habitat, penebangan hutan, dan pemburuan haram. Jika kita tidak bertindak sekarang, generasi akan datang mungkin hanya dapat mengenali spesies-spesies ini melalui gambar semata-mata. Inisiatif ‘Charms for Change’ adalah contoh terbaik bagaimana organisasi korporat dan organisasi yang terlibat dalam pemuliharaan alam dan hidupan liar boleh bekerjasama untuk menghasilkan impak yang nyata. Dengan memiliki charm ini, rakyat Malaysia boleh menunjukkan keprihatinan mereka terhadap usaha melindungi biodiversiti negara, dan bersedia mengambil langkah kecil tetapi langkah yang bermakna bagi memastikan spesies-spesies yang terancam ini kekal wujud di habitat semula jadi. Setiap sumbangan, walaupun kecil, mampu memastikan masa depan di mana manusia dan alam sekitar hidup harmoni bersama.”

Touch ‘n Go Charm Wildlife Edition 2025 bukan sekadar aksesori bergaya semata-mata, tetapi juga berfungsi sepenuhnya sebagai alat pembayaran tanpa tunai Touch ‘n Go. Ia direka dengan praktikal, mudah dipasang pada beg, rantai kunci atau dompet, memudahkan akses dan pembayaran tol, pengangkutan awam dan tempat letak kereta.

Proses menambah nilai juga kini lebih mudah—rakyat Malaysia boleh menambah nilai charm ini dengan pantas dan mudah melalui fungsi NFC dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet, membolehkan tambah nilai dilakukan serta-merta dengan satu sentuhan sahaja. Dengan charm ini, transaksi harian menjadi lebih bermakna apabila anda menyumbang secara langsung kepada usaha pemuliharaan hidupan liar sambil menikmati kemudahan digital yang serba moden.

Melalui inisiatif ini, Touch ‘n Go dan WWF-Malaysia berhasrat untuk meningkatkan kesedaran serta menggalakkan tindakan proaktif dalam melindungi hidupan liar Malaysia yang terancam. Setiap pembelian membawa mesej dan matlamat jelas—mengubah charm ini menjadi simbol komitmen rakyat Malaysia untuk terus memelihara hidupan liar negara kita.

Touch ‘n Go Charm Wildlife Edition 2025 boleh didapati pada harga RM35 setiap satu mulai 20 Mac 2025. Rakyat Malaysia boleh mendapatkan charm eksklusif ini melalui kedai atas talian rasmi Touch ‘n Go Malaysia di Shopee Mall, kedai Touch ‘n Go eWallet di Lazada serta di Pusat Jualan dan Servis Touch ‘n Go di Nu Sentral dan Bangsar South. 

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.