Siakap Keli
penduduk hias koridor
Kredit: Berita Mediacorp

Penuh Warna-Warni, Lelaki Semangat Hias Koridor Kondo Sempena Puasa & Raya

Penuh Warna-Warni, Lelaki Semangat Hias Koridor Kondo Sempena Puasa & Raya

Jika dahulu, kediaman hanya akan mula dihiasi lampu pelita apabila Syawal menjelang. Lama kelamaan, semakin ramai yang menggantikan lampu pelita dengan menggunakan lampu kelap-kelip di kediaman dan premis perniagaan bagi meraikan kehadiran Hari Raya Aidilfitri.

Ada yang memasang lampu berwarna-warni, ada juga yang memilih untuk menggantungkan lampu berwarna kuning bagi menyamai suasana seperti memasang pelita. Lama-kelamaan, masyarakat semakin menyedari tiada Syawal tanpa kehadiran Ramadan. Berikutan itu, semakin ramai pula yang meraikan kehadiran Ramadan dengan pelbagai hiasan di kediaman.

Lampu kelap-kelip dan lampu meja yang bertemakan motif Islam bukan hanya hiasan semata-mata. Ia juga membawa seribu harapan agar seisi rumah dan tetamu yang berkunjung dapat merasai kemeriahan Ramadan, menjadi pemangkin untuk menyemarakkan semangat beribadah dalam bulan mulia ini.

Baru-baru ini, seorang penduduk di kawasan Tampines, Singapura yang dikenali sebagai Haidar Khan, tular apabila lelaki berkenaan menghias koridor rumah dengan lampu kelap-kelip. Tidak hanya menggantungnya di tingkap atau balkoni rumah, malah lelaki berkenaan turut menggantung lampu dan mengubah suai seluruh ruang koridornya.

Kredit: Berita Mediacorp

Lelaki tersebut turut menghiasi bahagian dalam rumah dengan lampu pelbagai jenis bertemakan Ramadan dan Syawal.

“Ini merupakan tahun pertama saya raikan Ramadan di rumah ini. Jadi kita nak buat jadi lebih istimewa sikit,” katanya.

Menurutnya, pengubahsuaian di bahagian koridor pada asalnya hanya dilakukan sebahagian iaitu pada bahagian miliknya sahaja. Namun apabila jiran di sebelah hadapan rumahnya melihat hiasan tersebut, jiran berkenaan meminta lelaki tersebut turut menghiasi kawasan koridornya pula.

“Jiran saya ni berbangsa Cina. Pertama kali dia lihat, dia seperti terpegun. Dia nak jumpa saya. Saya ingatkan dia nak buat aduan. Rupanya dia nak cakap, buatkan sekali untuk dia. Nanti dia bayar separuh,” jelas Haidar.

Di bahagian dalam kediaman, isterinya turut menyumbangkan idea bagi mewujudkan Sudut Ramadan. Sudut ini dilengkapi makanan buah kurma, manisan dari Timur Tengah dan beberapa bahan bacaan agama.

Kredit: Berita Mediacorp

“Apabila dinding terkena pancaran lampu kelap-kelip, ia berikan satu aura yang hanya datang setahun sekali. Contohnya gembira dan syukur dapat bertemu Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang.

“Dulu hiasan saya di tingkap saja, jadi tahun ini saya nak buat kelainan. Saya nak hias di luar rumah jadi kita boleh bagi semangat untuk sesiapa yang nampak dah masuk bulan Ramadan. Syawal bakal menjelang,” tambahnya.

Menurut Haidar lagi, kesemua lampu perhiasan itu dibeli sedikit demi sedikit menerusi dalam talian sejak berpindah ke sana.

“Harga dalam talian tu agak lebih jimat. Lampu kelap-kelip zaman sekarang ni semuanya LED. Jadi semua lampu kelap-kelip yang saya beli ni jimat tenaga dan kos,” maklumnya.

Haidar turut menitipkan pesanan buat mereka yang ingin mengikut jejak langkahnya.

“Cari sahaja ruang yang boleh pasang (hiasan lampu), pastikan tak langgar peraturan dan pastikan jiran bersetuju,” pesan lelaki tersebut.

https://www.facebook.com/reel/1471705987124522

BACA: Elak Terkandas Pulang Raya, Ini Senarai Barang Kit Kecemasan Kereta

Sumber: Berita Mediacorp

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.