Sebuah Rumah, Dua Jeti, Sebuah Van Musnah Dalam Kebakaran Di Sekinchan
SHAH ALAM, 25 Mac (Bernama) — Sebuah rumah dan dua jeti di kawasan Jeti Achok Lorong 11, Sekinchan, Sabak Bernam musnah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran yang berlaku pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 8.57 pagi dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan sebuah rumah dan dua jeti dengan anggaran peratusan kebakaran 80 peratus, dan kejadian tidak melibatkan mangsa.
“Kebakaran berjaya dikawal pada 10.04 pagi dan ia melibatkan deretan jeti berkeluasan 40 x 400 kaki persegi. Turut terbakar sebuah van kira-kira 95 peratus dan sebuah kereta lima peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Mukhlis berkata 17 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan, Tanjong Karang dan Sungai Besar terlibat dalam operasi pemadaman.
Sumber: BENAMA