Siakap Keli
puasa 29 hari
Kredit: Bernama

Berbezakah Ganjaran Puasa 29 Hari Dengan 30 Hari? Ini Penjelasan Mufti WP

Berbezakah Ganjaran Puasa 29 Hari Dengan 30 Hari? Ini Penjelasan Mufti WP

Sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam, ketentuan permulaan sesuatu bulan Islam itu berdasarkan penampakan bulan sabit muda ketika awal bulan. Jika bulan sabit muda masih belum kelihatan pada petang hari yang sepatutnya menjadi hari pertama bulan tersebut, jawatankuasa pencerapan anak bulan akan menetapkan hari berikutnya sebagai hari pertama bulan tersebut.

Itulah yang dilakukan setiap tahun dalam menentukan hari pertama setiap bulan Islam biarpun kita hanya sering mendengar pengumuman ini setiap kali tiba bulan Ramadan dan Syawal.

Jika kaedah seperti ini digunakan, menjadi satu kebiasaan juga kadang-kala jumlah hari dalam bulan tersebut tidak semestinya 30 hari. Ada masanya bulan tersebut dilalui selama 29 hari, ada kalanya pula 30 hari.

Bila berlaku perbezaan seperti ini, pasti ada antara kita yang tertanya-tanya, adakah terdapat perbezaan ganjaran pahala jika kita hanya berpuasa selama 29 hari berbanding 30 hari? Jika tahun ini kita hanya berpuasa 29 hari, adakah ini bermakna pahala ibadah puasa kita berkurangan berbanding tahun lalu?

Bagi merungkai persoalan-persoalan ini, ikuti penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berikut.

Ringkasan Jawapan

Pahala orang yang berpuasa 29 hari adalah sama sempurna seperti orang yang berpuasa 30 hari tanpa melihat kepada perbuatan sehariannya. Adapun apa yang terhasil daripada hari ke-30 itu dari sudut pahala wajib dan sunat sedari sahur sehinggalah berbuka, maka ia merupakan pahala tambahan yang diperoleh mereka yang berpuasa 30 berbanding 29 hari.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Allah SWT berfirman:

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ‎

 

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.”

(Surah al-Baqarah :183)

Ayat ini merupakan dalil pensyariatan puasa ke atas seluruh umat Islam termasuklah juga ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Sebagaimana maklum, satu bulan itu kadangkala mengandungi 29 hari dan kadangkala genap 30 hari. Hal ini jelas berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:

 

إِنَّا أُمَّةٌ أُمِّيَّةٌ، لاَ نَكْتُبُ وَلاَ نَحْسُبُ، الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا» يَعْنِي مَرَّةً تِسْعَةً وَعِشْرِينَ، وَمَرَّةً ثَلاَثِينَ

 

Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah umat yang buta huruf, kami tidak pandai menulis dan tidak pandai mengira. Manakala sebulan itu adalah sekian-sekian, iaitu kadangkala 29 hari, dan kadangkala 30 hari.”

(Riwayat al-Bukhari :1913)

Begitu juga dalam riwayat yang lain, Baginda bersabda:

 

«»الشَّهْرُ هَكَذَا وَهَكَذَا» وَخَنَسَ الإِبْهَامَ فِي الثَّالِثَةِ

 

Maksudnya: “Sesuatu bulan itu adalah seperti ini dan seperti ini, kemudian Baginda menghubungkan ibu jari ke jari ketiga.”

(Riwayat al-Bukhari :1908)

Perubahan bilangan hari puasa dalam sebulan ini bukan hanya berlaku pada zaman kini, malah Baginda SAW juga pernah merasai puasa pada kedua-dua tempoh tersebut. Menurut sejarah, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa Nabi Muhammad SAW telah menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan sebanyak 9 kali, iaitu sehinggalah Baginda wafat pada bulan Rabiulawal tahun ke-11 Hijrah.

Syeikh al-Bujairami menyatakan bahawa Rasulullah SAW pernah berpuasa penuh sebulan iaitu 30 hari hanya sekali dalam hidup Baginda, manakala bagi baki lapan siri puasa Ramadan, Baginda berpuasa sebanyak 29 hari.

Terdapat juga beberapa pandangan yang mengatakan bahawa Baginda berpuasa penuh 30 hari sebanyak dua kali[3] dan ada juga yang mendakwa Baginda berpuasa 30 hari sebanyak 4 kali.

Sehubungan dengan itu, timbul persoalan berkenaan adakah sama pahala puasa sebanyak 29 hari dengan mereka yang berpuasa selama 30 hari? Syeikh al-Bujairami menjawab:

 

وَالنَّاقِصُ كَالْكَامِلِ فِي الثَّوَابِ الْمُرَتَّبِ عَلَى رَمَضَانَ مِنْ غَيْرِ نَظَرٍ لِأَيَّامِهِ، أَمَّا مَا يَتَرَتَّبُ عَلَى يَوْمِ الثَّلَاثِينَ مِنْ ثَوَابِ وَاجِبِهِ وَمَنْدُوبِهِ عِنْدَ سُحُورِهِ وَفُطُورِهِ فَهُوَ زِيَادَةٌ يَفُوقُ الْكَامِلُ بِهَا النَّاقِصَ

 

Maksudnya: “Pahala orang yang berpuasa 29 hari adalah sama sempurna seperti orang yang berpuasa 30 hari tanpa melihat kepada perbuatan sehariannya. Adapun apa yang terhasil daripada hari ke-30 itu dari sudut pahala wajib dan sunat sedari sahur sehinggalah berbuka, maka ia merupakan pahala tambahan yang diperoleh mereka yang berpuasa 30 berbanding 29 hari.”

Syeikh al-Jamal menyebut antara hikmah Nabi SAW menjalani kedua-dua tempoh ibadah puasa iaitu 29 dan 30 hari termasuklah meyakinkan jiwa umatnya bahawa puasa 29 hari adalah sama dengan puasa 30 hari dari sudut pahala yang terhasil daripada Ramadan, tanpa mengira perbuatan dalam kehidupan sehariannya.

Wallahu A‘lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: