Rupanya Ini Tip Mudah Rebus Nasi Himpit, Jimat Masa
Nasi himpit merupakan juadah yang tidak asing bagi budaya di Malaysia. Bukan hanya dimakan pada hari raya, malah juadah ini turut dimakan pada hari-hari biasa bersama sate, lontong dan lodeh. Bukan itu sahaja, nasi himpit turut enak dinikmati bersama kuah kacang, serunding mahupun rendang.
Dengan adanya nasi himpit, tekak Asia Tenggara kita pasti rasa puas menikmati juadah yang dihidangkan biarpun tanpa sepinggan nasi dihulurkan.
Tidak mustahil, ada dalam kalangan kita yang pernah mencuba untuk memasak sendiri nasi himpit walau hanya sekali. Namun, masih ramai yang tidak dapat menghasilkan nasi himpit yang benar-benar menjadi. Ada yang tak cukup masak, ada yang terlebih air sampai nasi himpit jadi lembik.
Jadi, bagaimana caranya untuk hasilkan nasi himpit yang cantik, elok kejadiannya? Adakah terdapat bahan tambahan yang diperlukan atau teknik tertentu yang tidak diperturunkan kepada kita?
BACA: Resipi Biskut Cornflakes Rangup, Kegemaran Tetamu Ketika Raya
Rupa-rupanya, untuk menghasilkan nasi himpit yang sedap dimakan, tiada teknik misteri, tiada resipi rahsia.
Anda cuma perlu tahu jumlah air yang diperlukan untuk merebus nasi himpit. Tak perlu susah hati, ikut sahaja langkah-langkah yang dikongsi oleh salah seorang pengguna Facebook, Eeka Yasin.
“Dah usia emas baru tahu rupanya ada strategi merebus nasi himpit, 50 minit je guna dapur gas. Cantik je kejadian eh. Tak payah pressure cooker. Tak payah guna multi-cooker. Selama ni bukan main beriya merebus berjam-jam. Rugi gas kami,” kongsi wanita berkenaan.
Mari ikuti perkongsian Eeka di bawah.
Pertama sekali, panaskan air hingga mendidih.
“Air ikut sukatan pek nasi himpit. Tiga kali ganda paras pek nasi. Lebih pun tak apa,” pesan Eeka.
Apabila air sudah menggelegak, masukkan pek beras dan rebus selama 10 minit. Setelah tamat 10 minit, matikan api dan tutup periuk. Kemudian, biarkan selama 30 minit.
Langkah terakhir, hidupkan semula api selama lima hingga 10 minit lagi. Selepas itu, boleh angkat nasi himpit dan sejukkan.
Nasi himpit yang empuk, tanpa lebihan air siap untuk dimakan bersama juadah kegemaran sekeluarga.
BACA: Hasil Tanaman Dibuat Kuih, Wanita Kongsi Resipi Koci Labu
BACA: Ini Resipi Puding Kastard Jagung, Manisan Wajib Ketika Ramadan
Sumber: Facebook Eeka Yasin