Siakap Keli
lencana jalur gemilang
Kredit: Bernama

Pelajar Perlu Pakai Lencana Jalur Gemilang, Diberi Secara Percuma

Pelajar Perlu Pakai Lencana Jalur Gemilang, Diberi Secara Percuma

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengeluarkan pekeliling mewajibkan pemakaian Lencana Jalur Gemilang kepada semua pelajar institusi pendidikan di Malaysia. Pemakaian ini diwajibkan ke atas pelajar sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, Kolej Matrikulasi dan Institusi Pendidikan Guru Malaysia.

Menerusi garis panduan yang dikeluarkan pada 24 Mac, pemakaian lencana ini berkuat kuasa serta-merta pada 21 April 2025.

Antara objektif penguatkuasaan pemakaian Lencana Jalur Gemilang ini bertujuan meningkatkan semangat patriotisme, memupuk perpaduan dan menonjolkan identiti kebangsaan. Malah, ia juga bertujuan mewujudkan sikap bertanggungjawab dan berdisiplin dalam diri pelajar.

Selain itu, pemakaian lencana tersebut menjadi tanda penghormatan terhadap negara dan memupuk perasaan bangga terhadap negara.

“Institusi pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pemakaian lencana Jalur Gemilang, terutamanya dalam memupuk rasa cinta dan hormat terhadap negara.

“Oleh yang demikian, institusi pendidikan perlu memastikan murid memakai lencana Jalur Gemilang mengikut tatacara pemakaian dalam garis panduan yang ditetapkan,” maklum kementerian tersebut.

BACA: Cara Pakai Lencana Jalur Gemilang Dengan Betul

Lencana tersebut perlu dipakai pada pakaian seragam murid seperti baju prasekolah, baju kemeja, baju kurung dan pinafore tunic. Bagi murid beragama Islam, lencana perlu dipakai pada tudung dan baju Melayu. Pakaian sukan, pakaian batik dan baju korporat kolej vokasional juga tersenarai dalam pakaian seragam yang perlu mengenakan lencana ini.

Selain itu, pelajar turut diwajibkan memakai lencana tersebut pada pakaian seragam unit beruniform dan pakaian seragam khas.

Menerusi siaran media yang dikeluarkan, KPM akan membekalkan dua unit lencana secara percuma kepada setiap pelajar untuk sesi persekolahan 2025/2026.

“Inisiatif ini bertepatan dengan fungsi institusi pendidikan untuk menyemai rasa cinta akan negara dan menyuburkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda,” ujar KPM.

Dalam pada itu, KPM turut menegaskan pelajar agar tidak menggabungkan lencana bersama aksesori lain atau dihias sehingga menjejaskan maruah simbol kebangsaan itu.

“Pemakaian lencana Jalur Gemilang mesti dilakukan dengan penuh tanggungjawab dan tidak boleh dipakai dalam keadaan kotor, rosak atau tidak terurus,” tambah kementerian berkenaan.

BACA: Aidilfitri: KPM Umum 3 Hari Cuti Tambahan

Sumber: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) (1) (2)

Azizah Najib

Menulis tanpa henti

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.

error: