Siakap Keli
dari beijing ke ipoh
Kredit: Bernama

Dari Beijing Ke Ipoh, Pasangan Suami Isteri Habiskan Lima Hari Naik Tren Balik Beraya

Dari Beijing Ke Ipoh, Pasangan Suami Isteri Habiskan Lima Hari Naik Tren Balik Beraya

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) — Bunyi macam kerja gila, tetapi demi pengalaman balik kampung yang berbeza dan lebih bermakna, dua rakyat Malaysia ini sanggup meredah perjalanan sejauh 5,500 kilometer melalui jalan darat untuk pulang berhari raya bersama-sama dengan keluarga di tanah air.

Walaupun boleh mengambil penerbangan terus dari Beijing, China ke Kuala Lumpur yang hanya mengambil masa enam jam, Isa Zubir, 36 dan isterinya, Ain Rozli, 34 memilih untuk menaiki kereta api merentasi empat negara yang memakan masa lima hari.

Dari ibu negara China, pasangan suami isteri itu menaiki keretapi laju ke Kunming, Yunnan sebelum menyambung perjalanan ke Vientiane, Laos menuju Bangkok, Thailand dan seterusnya ke Ipoh, Perak sebagai destinasi akhir.

Kredit: Bernama

“Ini boleh dikatakan kerja gilalah…siapa yang nak mengembara lebih 5,000 km guna jalan darat pada bulan puasa, dalam cuaca panas terik serta perlu bawa beg yang berat dan besar? Tapi alhamdulillah, urusan dipermudah.

“Perjalanan ini merupakan satu pengalaman berharga sebagai anak rantau yang nak balik beraya di Malaysia. Kalau ikutkan memang tak sabar nak balik (cepat), tapi bukan mudah kita nak dapat peluang balik kampung sambil explore dulu negara- negara lain dalam perjalanan,” katanya kepada Bernama.

Isa yang bekerja di sebuah pertubuhan media di republik itu juga menyifatkan pengembaraan tersebut umpama impian jadi kenyataan kerana dia telah lama berhasrat untuk mengembara merentasi negara-negara berkenaan melalui jalan darat, tetapi tidak menyangka dapat merealisasikannya sebagai agenda “balik kampung”.

Kredit: Bernama

Berkongsi tentang pengembaraan mengujakan itu, anak jati Sabak Bernam tersebut memulakan perjalanan menaiki tren dari Beijing menuju Kunming di Yunnan yang memakan masa kira-kira 14 jam 25 minit pada 21 Mac lepas.

“Bagi tren pertama kami tidak mengambil tempat duduk yang mempunyai katil sebaliknya kerusi biasa. Bayangkan hampir 15 jam duduk memang sakit belakang rasanya tetapi semuanya berbaloi kerana tren ini sangat menarik dan istimewa dengan kemudahan kafe selain kami boleh lihat budaya berbeza daripada yang pernah kami lihat,” katanya.

Isa yang menetap di China sejak Februari tahun lalu juga tidak mensia-siakan kesempatan melawat dan bermalam sehari di Kunming untuk menikmati pengalaman musim bunga selain melawat tarikan di wilayah itu seperti Kunming Old Road, Flower Market, Masjid Shuncheng dan Halal Street.

Kredit: Bernama

“Kami juga menemukan budaya berbeza di Kunming yang terletak di bahagian barat China ini, antaranya restoran nasi campur yang tiada di Beijing. Masjid Shuncheng juga antara tarikan yang sangat memukau,” katanya yang membeli tiket sebulan lebih awal secara dalam talian.

Dari Kunming, mereka meneruskan perjalanan ke Vientiane dengan menaiki kereta api selama sembilan jam 26 minit dan seterusnya ke Bangkok selama 12 jam 48 minit.

Sepanjang perjalanan, pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa daripada Universiti Teknologi Mara ini merakam pelbagai kenangan manis termasuk membuat ramai kenalan baharu daripada pelbagai latar belakang dan budaya berbeza yang ditemuinya di atas gerabak.

“Kami sempat berkenalan dengan pasangan dari Australia dan seorang peniaga dari Sichuan, China yang berkongsi kisah pengembaraan dan hidup mereka. Yang paling menarik, pertemuan dengan sorang wanita dari Laos yang ramah tetapi tidak boleh berbahasa Inggeris dan kami berkongsi cerita menerusi bahasa Mandarin,” katanya yang juga tidak menghadapi kesukaran ketika proses imigresen di negara-negara berkenaan.

Kredit: Bernama

Makanan halal yang senang didapati di setiap stesen membolehkan pasangan itu merancang dan membuat persediaan bersahur dan berbuka di atas kereta api.

“Sejujurnya kami bukan sahaja timba pengalaman baharu dan pemandangan berbeza di setiap negara, tetapi juga mengajar kami banyak perkara, terutamanya pengorbanan dan kesabaran.

“Walaupun naik penerbangan lebih mudah dan cepat, pengalaman melalui jalan darat ini berbeza. Feel nak raya lagi kuat kerana perjalanan yang jauh membuatkan kita tidak sabar untuk sampai di Malaysia,” katanya yang akan kembali ke Beijing pada 10 April selepas meraikan Aidilfitri di tanah air.

Sumber: BERNAMA

Sofea

Iqra'.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.