Grab Malaysia dan Rakan Grab Berganding Bahu Berkongsi Semangat Ramadan & Raya
PETALING JAYA, 28 Mac 2024 – Menjelang penghujung Ramadan dan kedatangan Hari Raya, kami menghargai dedikasi komuniti rakan-pemandu dan rakan-penghantar di seluruh negara yang telah memberi impak positif kepada kehidupan rakyat Malaysia. Kami juga mengambil kesempatan ini untuk menghargai hubungan bermakna dan amalan kebaikan yang telah membentuk bulan yang mulia ini.
Tahun ini, sambutan Grab Malaysia yang bertemakan “Kebaikan Dalam Setiap Pesanan” telah merealisasikan beberapa inisiatif #GrabBersamaMalaysia yang direka untuk membalas jasa dan memupuk kebersamaan—yang dirangka bersama komuniti, untuk komuniti.
Program Agihan Bubur Lambuk
Sempena bulan Ramadan, pasukan Grab Malaysia bersama komuniti rakan-pemandu dan rakan-penghantar telah memasak dan mengedarkan bubur lambuk kepada lebih 5,500 individu di 17 bandar di seluruh negara.
Inisiatif ini telah dijalankan di 17 bandar termasuk Lembah Klang, Johor Bahru, Negeri Sembilan, Batu Pahat, Kluang, Muar, Melaka, Sungai Petani, Alor Setar, Kuching, Bintulu, Miri, Sibu, Kota Kinabalu, Kuantan, Kota Bharu dan Kuala Terengganu.
Membantu Kanak-kanak dari Yayasan Islam Darul Ehsan Menyambut Raya
Di Lembah Klang, Grab bersama GXBank dan komuniti rakan-pemandu dan rakan-penghantar telah menyediakan bubur lambuk dan menganjurkan majlis berbuka puasa untuk rakan Grab, keluarga mereka dan kanak-kanak dari Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini dan dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS), kanak-kanak dari YIDE turut dibawa membeli-belah baju raya baharu untuk Syawal. Selain itu, mereka juga dibekalkan dengan keperluan harian dari Jaya Grocer, bagi membantu meringankan beban kewangan, terutamanya menjelang perayaan yang akan datang.
Rashid Shukor, Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti di Grab Malaysia menegaskan, “Sebagai jenama tempatan, kami amat menghargai dedikasi rakan-pemandu dan rakan-penghantar yang sentiasa berusaha lebih untuk berkhidmat kepada komuniti kami. Pada Ramadan dan Raya ini, melalui inisiatif seperti pengagihan bubur lambuk dan membantu kanak-kanak kurang berkemampuan dengan baju raya baharu dan keperluan harian, kami berharap dapat menyebarkan kegembiraan bukan sahaja kepada rakan kami tetapi juga kepada masyarakat umum. Lebih daripada sekadar tanda penghargaan, usaha ini mencerminkan komitmen kami untuk menyokong rakan kami di luar waktu mereka di jalan raya sambil memupuk hubungan yang bermakna pada musim perayaan ini.”
Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen Grab Malaysia dalam menyokong rakan-pemandu dan rakan-penghantar, memupuk semangat kebersamaan, dan meraikan semangat kesyukuran dan kemurahan hati pada Hari Raya ini.