KPKT Kaji Mekanisme Bantuan Perumahan Untuk Mangsa Kebakaran Paip Gas Di Putra Heights
Kuala Lumpur, 2 April 2025 — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited untuk mengkaji mekanisme yang sesuai dan berkesan bagi membantu mangsa kebakaran paip gas di Putra Heights dalam menangani masalah perumahan mereka.
“KPKT menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Selangor dan juga syarikat Petronas bagi menyediakan bantuan perumahan kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat tragedi kebakaran ini,” kata Menteri Nga Kor Ming.
“Siasatan mengenai punca kebakaran tersebut sedang dijalankan. Namun begitu, KPKT bersedia untuk berunding dengan semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan negeri Selangor dan Petronas, bagi menyelaraskan bantuan perumahan,” tambah beliau.
Menurut Nga, mangsa yang kehilangan rumah kediaman ditempatkan di Masjid Nurul Iman Puchong dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights buat masa sekarang.
“Namun, kerja bina baru atau baik pulih rumah yang musnah itu akan mengambil masa dan KPKT sedang mengkaji langkah proaktif untuk mempercepatkan proses.
“Keutamaan kami adalah untuk memastikan keluarga yang terjejas menerima sokongan yang diperlukan dalam proses baik pulih atau bina semula kediaman mereka,” kata beliau.
Berdasarkan laporan yang diterima daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sebanyak 78 buah rumah dan 10 buah kedai telah musnah dalam kebakaran, manakala 237 buah rumah turut terjejas, setakat jam 6 petang hari Selasa.
Kejadian ini turut melibatkan 305 orang mangsa. Dalam pada itu, 125 orang mangsa telah mengalami kecederaan.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melawat tapak kejadian dan mengumumkan bantuan kewangan segera sebanyak RM5,000 kepada mangsa yang rumah mereka musnah sepenuhnya dan RM2,500 kepada mangsa yang rumah mereka terjejas sebahagian.
Nga turut merakamkan penghargaan kepada anggota barisan hadapan, termasuk pasukan bomba dari JBPM, atas usaha dalam menangani kebakaran tersebut.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan tempat ibadat termasuk Masjid Nurul Iman Puchong, Masjid Putra Heights dan Kuil Sri Maha Kaliamman yang telah menghulurkan bantuan kepada semua mangsa tanpa kira kaum atau agama.