Hujan Lebat Dijangka Landa 4 Negeri, 1 Wilayah
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat terhadap empat negeri dan satu Wilayah Persekutuan sehingga 7 malam ini.
Menerusi amaran yang dimuat naik di laman Facebook, MetMalaysia menjangkakan Wilayah Persekutuan Labuan bakal menerima hujan lebat petang ini.
Melihat keadaan cuaca di Perak, beberapa kawasan turut dijangka hujan lebat iaitu Bagan Datuk, Hilir Perak dan Muallim.
Di Selangor, antara kawasan yang tersenarai menerima hujan lebat hanya Sabak Bernam dan Kuala Selangor.
Terus ke Sarawak, MetMalaysia meramalkan ribut petir dan hujan lebat di beberapa daerah termasuk Kuching, Samarahan (Samarahan dan Asajaya) dan Sibu (Sibu dan Selangau). Begitu juga Mukah (Daro, Matu, Dalat dan Mukah), Bintulu dan Limbang.
Cuaca di Sabah pula menunjukkan hujan lebat bakal melanda daerah Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu dan Beaufort) dan Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran).

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” maklum jabatan berkenaan.
Sementara itu, media melaporkan pemindahan tujuh keluarga ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Resak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akibat ribut, semalam.
Pemindahan seramai 25 orang mangsa itu disahkan oleh Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi yang telah bertungkus-lumus dan bekerjasama dengan pasukan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh untuk memberikan bantuan dan sokongan kepada mangsa yang terjejas.
“Saya telah mengarahkan agar bantuan keperluan harian disalurkan segera, khususnya bagi memastikan keselesaan kanak-kanak dan golongan sakit. Saya juga menyantuni keluarga-keluarga yang terkesan dan menyelami sendiri keluhan serta keperluan mereka,” maklum beliau.
Kejadian ribut tersebut dimaklumkan berlaku pada petang semalam di Kampung Melayu Subang dan Subang Perdana, Shah Alam. Beberapa kediaman termasuk kemudahan awam mengalami kerosakan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
BACA: Singapura Kerah Lipas Cyborg Bantu Cari Mangsa Gempa Myanmar
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) (1), Bernama