Lelaki Dakwa ‘Ditampar’ Secara Maya, Saman Syarikat Permainan Video
Seorang lelaki di China dilapor menyaman sebuah syarikat permainan video selepas mendakwa mengalami kemurungan akibat ditampar secara maya lebih 4,800 kali menggunakan ‘barang’ dalam permainan video.
Menurut South China Morning Post, individu tersebut merupakan peminat setia permainan video itu selama 15 tahun dan kini memegang pangkat tertinggi.
Dia mendapati bahawa selepas setiap kemenangan, pihak lawan sering melemparkan ‘barang’ seperti telur dan selipar jerami ke arah “avatar” miliknya yang mencetuskan kesan seolah-olah ditampar secara maya.
Berdasarkan jumlah permainan yang dimainkannya, dia mendakwa kedua-dua ‘barang’ itu dilempar lebih 4,800 kali dalam tempoh enam bulan lalu, di mana tindakan tersebut dipercayai cara pemain lain menunjukkan kekecewaan selepas alami kekalahan.
Menurut SCMP, dia turut mengalami tamparan maya yang berlangsung lebih 90 saat, sekaligus mendakwa tamparan itu berlaku di hadapan pemain lain dan maruahnya tercalar.
Alami kemurungan, lelaki saman syarikat permainan video
“Setiap kali saya dilempar dengan telur, saya rasa harga diri saya tercabar dan saya menjadi murung,” kata lelaki itu.
Barang seperti telur dan selipar jerami boleh diperoleh secara percuma melalui aktiviti dalam permainan atau dibeli pada harga yang sangat murah.
Lelaki terbabit turut mendakwa bahawa syarikat permainan itu sengaja ‘membiarkan’ dan ‘menggalakkan’ pemain menggunakan telur dan selipar jerami untuk menghina sesama sendiri.
Dalam masa sama, syarikat permainan video itu dipercayai meraih keuntungan daripada pembelian ‘barang’ berkenaan.
Selepas beberapa aduan kepada khidmat pelanggan tidak diendahkan, dia membuat keputusan untuk menyaman syarikat itu dan menuntut pampasan walaupun jumlah tuntutan belum didedahkan.
Carian di media sosial China menunjukkan ramai pemain berkongsi pengalaman menggunakan barang itu sebagai cara membalas dendam selepas tewas.
Syarikat yang terlibat boleh dikenakan liabiliti sivil
Menurut SCMP, wakil syarikat permainan menjelaskan bahawa barang terbabit adalah sebahagian daripada mekanisme permainan, namun mereka akan mula memperkenalkan sekatan pada 31 Mac lalu.
Peguam Jin Xiaodong dari wilayah Shandong berkata, telur dan selipar jerami secara asasnya bersifat menghina dan syarikat permainan bertanggungjawab untuk mengekalkan ketenteraman dalam permainan.
Manakala, seorang lagi pakar undang-undang turut memaklumkan sekiranya perbuatan buli dalam permainan video melanggar hak peribadi seseorang, syarikat yang terlibat boleh dikenakan liabiliti sivil.
BACA: Manchester United Kembali Ke Malaysia Pada 28 Mei
Sumber: South China Morning Post