Ismail Zain Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics
8 APRIL 2025 – YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri, hari ini merasmikan pelancaran buku Ismail Zain Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics di Balai Seni Negara. Penerbitan buku ini merupakan hasil kerjasama antara Balai Seni Negara dan FERGANA, menghimpunkan 33 teks tulisan Ismail Zain yang dihasilkan sepanjang 17 tahun, bermula tahun 1972 hingga 1989.
Ismail Zain Intermediations: Selected Writings on Art and Aesthetics disunting oleh T.K. Sabapathy, Eddin Khoo dan Jaafar Ismail, dengan terjemahan utama oleh Pauline Fan. Ia menghimpunkan karya terbesar Ismail Zain dalam satu jilid, dengan tulisan utama dalam Bahasa Melayu dan diterjemah ke dalam Bahasa Inggeris.
Sebagai seorang seniman, kurator, pendidik, dan pemikir seni, beliau merupakan figura berpengaruh dalam landskap seni Malaysia. Sumbangannya bukan sahaja dalam bidang seni, malah dalam pembangunan institusi awam seperti Balai Seni Negara dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), yang terus memainkan peranan penting dalam ekosistem seni negara.
Lebih daripada sekadar himpunan penulisan, buku ini menggambarkan bagaimana pemikiran Ismail Zain membentuk pemahaman terhadap perkembangan seni moden dan kontemporari. Selain itu, ia turut mengupas mengenai peranan penulisan dalam dunia seni serta bagaimana ideanya boleh dibandingkan dengan wacana seni oleh pemikir lain.
Menerusi penerbitan buku ini, diharap ia bakal menjadi sumber rujukan bagi penggiat seni, ahli akademik, dan masyarakat umum dalam memahami peranan kritikan seni dalam perkembangan seni visual. Orang ramai boleh mendapatkan buku ini di Kedai Galeri, Balai Seni Negara.
Sementara itu, dalam majlis yang sama, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim turut mengadakan lawatan ke Pusat Repositori Konservasi Seni Negara, atau Art Hospital, yang ditubuhkan pada 2019. Sebagai yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara, pusat ini berperanan untuk mengurus, memelihara dan memulihara Koleksi Seni Visual Negara agar terus dapat dihayati oleh generasi kini dan akan datang.
Majlis ini turut dihadiri oleh YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC); YB Tuan Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri MOTAC; YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha MOTAC; YBrs. Tuan Shaik Rizal Sulaiman, Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN); YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah LPSVN; serta YBrs. Puan Wairah Marzuki, balu kepada Allahyarham Ismail Zain bersama waris terdekat. Turut hadir, pegawai-pegawai kanan MOTAC, serta wakil-wakil dari jabatan dan agensi.
Untuk maklumat lanjut, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.