Siakap Keli
KPKT Pertimbang Wujudkan Akta Baharu Bagi Menangani Isu Pengurusan Harta Dan Bangunan Yang Lemah
Gambar Hiasan

KPKT Pertimbang Wujudkan Akta Baharu Bagi Menangani Isu Pengurusan Harta Dan Bangunan Yang Lemah

KPKT Pertimbang Wujudkan Akta Baharu Bagi Menangani Isu Pengurusan Harta Dan Bangunan Yang Lemah

PETALING JAYA, 8 April – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan suatu akta baharu bagi menangani isu pengurusan harta dan bangunan yang lemah di negara ini.

Dalam ucapan perasmian di Simposium Strata Antarabangsa hari ini, Menteri, YB Nga Kor Ming mengetengahkan beberapa isu berlarutan berhubung perkhidmatan pengurusan harta yang lemah di Malaysia, yang menyebabkan penurunan dalam nilai aset harta, terutamanya bagi bangunan berstrata.

Kata beliau, terdapat hanya 594 firma berlesen yang menguruskan 26,334 skim strata atau 2.91 juta unit dalam harta strata di Malaysia.

“Dalam erti kata lain, setiap firma secara purata bertanggungjawab untuk menguruskan hampir 4,900 unit dalam harta strata.

“Kekurangan firma berlesen ini mendorong kepada kualiti perkhidmatan yang lemah bagi Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan (MC), serta penambahan pengurus harta yang tidak berlesen di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata, ini menyebabkan ramai pemilik harta dan penyewa, terutamanya dalam skim strata, berdepan kesukaran berikutan kemerosotan nilai aset harta mereka akibat pengurusan bangunan yang lemah dan tidak mencukupi oleh pengurus harta yang tidak bertauliah, mahupun terlatih atau jujur.

Bagi menangani isu ini, Nga berkata kementeriannya telah berkerjasama dengan beberapa persatuan serta kumpulan berkepentingan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini untuk mengkaji satu akta baharu yang komprehensif, yang akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengawalseliaan pengurusan harta dan bangunan di bawah KPKT.

Pada masa ini, pengurus harta dikawal selia bersama penilai, pentaksir dan ejen harta tanah di bawah Akta 242.

“Dengan mewujudkan akta baharu yang khusus bagi pengurus harta, kami berhasrat untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan pengurusan harta di Malaysia, memastikan yuran penyelenggaraan yang dibayar oleh pemilik atau penyewa harta digunakan secara betul, seperti untuk penyelenggaraan lif dan taman, pengubahsuaian kemudahan, pengumpulan sisa buangan atau pembaikan sistem kumbahan,” tegas Nga.

Siti Sakinah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.