Ada Makna Tersendiri, Ketahui 3 Jenis Air Mata Manusia
Manusia adalah makhluk yang penuh dengan emosi dan perasaan. Dalam menghadapi pelbagai cabaran dan keindahan hidup, air mata menjadi medium yang membolehkan manusia meluahkan perasaan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
Perbuatan menangis yang sering dianggap sebagai tanda kelemahan sebenarnya adalah tindak balas semula jadi yang menyumbang kepada keseimbangan emosi dan kesihatan mental manusia.
Menurut Hello Doktor, satu kajian di University of South Florida pada 2008 menunjukkan bahawa 90% daripada yang menangis berasa mood mereka lebih baik daripada penggunaan antidepresi.
Jadi, kali ini kami di SK ingin berkongsi dengan anda semua tiga jenis air mata yang memiliki fungsi tersendiri terhadap manusia serta fakta menarik mengenainya yang jarang diketahui.
Tubuh badan manusia menghasilkan tiga jenis air mata
Menurut portal American Academy Of Ophthalmology, tiga jenis air mata tersebut ialah air mata basal, air mata refleksi dan air mata emosi.
Bagi air mata basal sentiasa berada di mata anda untuk melincirkan, memberi nutrisi dan melindungi kornea.
Ia bertindak sebagai perisai yang berterusan antara mata dan dunia luar, selain menghalang kotoran serta serpihan daripada terkena jangkitan bakteria.
Selain itu, air mata refleksi (pantulan) terjadi apabila disebabkan kegatalan atau ada benda asing yang masuk ke dalam mata. Ia boleh terjadi disebabkan oleh kepedihan mata kerana terdedah kepada asap, objek asing atau bawang.
Untuk pengetahuan, mata manusia mengeluarkan air mata refleksi dalam jumlah yang lebih banyak berbanding air mata basal. Pakar mendedahkan bahawa ia dipercayai mengandungi lebih banyak antibodi untuk membantu melawan bakteria.
Beralih ke air mata emosi pula, ia dihasilkan sebagai tindak balas terhadap kegembiraan, kesedihan, ketakutan dan keadaan emosi lain.
Beberapa saintis turut berpendapat bahawa air mata emosi mengandungi hormon dan protein tambahan yang tidak terdapat dalam air mata basal atau refleks.
Air mata memiliki lapisan tersendiri
Menurut portal American Academy Of Ophthalmology, air mata bukan hanya terdiri daripada komponen garam seperti yang sering difahami.
Sebenarnya ia memiliki struktur yang serupa dengan air liur dan mengandungi enzim, lipid, metabolit dan elektrolit. Difahamkan, air mata terbentuk dalam tiga lapisan yang berfungsi untuk melincirkan, menyihatkan dan melindungi mata kita.
Yang pertama ialah lapisan terdalam iaitu “mucus” atau lendir yang meliputi kornea supaya air mata boleh melekat kepada mata.
Seterusnya, lapisan air di tengah (lapisan paling tebal) untuk memastikan mata kekal terhidrat, menangkis bakteria, dan melindungi kornea.
Manakala lapisan minyak berfungsi untuk memastikan permukaan air mata licin agar ia dapat melihat dengan jelas melalui air mata, serta untuk mengelakkan lapisan-lapisan lain daripada menguap.
BACA: Lori Tangki Terbalik & Meletup, Puluhan Kenderaan Terbakar