Fakta Menarik Tentang Gunung Jingshan, Gunung Terendah Di Dunia
Bila sebut tentang ‘Gunung’ tentu dalam fikiran kita, satu bentuk muka bumi yang menjulang dari kawasan sekelilingnya, dengan cerun yang curam dan puncak yang tinggi.
Sebagai contoh, Gunung Kinabalu yang mempunyai ketinggian melebihi 4,000 meter.
Tapi pernah tak anda terfikir, wujud atau tidak sebenarnya gunung yang mempunyai ketinggian yang rendah?
Untuk pengetahuan, sebenarnya wujud. Dengan satu lompatan anda boleh tawan gunung ini yang terletak di bumi China, iaitu Gunung Jingshan.
Gunung Jingshan

Ciri-ciri fizikal Gunung Jingshan
Terletak di Shouguang, wilayah Shandong China, Gunung Jingshan diiktiraf sebagai gunung terendah di dunia dengan ketinggian hanya 0.6 meter.
Menurut laporan China.org, Gunung Jingshan memiliki ketinggian hanya 48 meter, tetapi sebahagian besar daripada gunung ini terbenam di bawah tanah.
Oleh itu, hanya puncaknya dilihat pada permukaan tanah dengan tinggi 0.6 meter, panjang 1.24 meter dan lebar 0.4 meter.
Uniknya tentang gunung ini terletak pada saiznya yang kecil, menjadikan gunung ini berbeza daripada gunung-gunung besar lain.
Asal Usul Gunung Jingshan

Bongkahan batu yang dilihat pada permukaan tanah dipercayai puncak Gunung Jingshan yang terbenam.
Meskipun kelihatan seperti batu biasa, tetapi ia mempunyai sejarah menarik di sebaliknya.
Difahamkan, pada suatu ketika dahulu, masyarakat telah berusaha untuk menggali tanah di sekitar lokasi itu bagi membuktikan bahawa ia bukanlah sebuah gunung.
Walau bagaimanapun, selepas menggali mereka tidak menemui dasar atau penghujung batu tersebut.
Oleh itu, Gunung Jingshan terus menjadi misteri belum dapat dijelaskan dengan sepenuhnya.
Pada tahun 1958, usaha kedua untuk membuktikan dasar batu itu juga gagal, sehingga gunung itu diiktiraf secara rasmi sebagai sebuah gunung meskipun ketinggiannya yang amat rendah.
Gunung Jingshan Sebagai Lokasi Pelancongan
Disebabkan keunikan Gunung Jingshan ini, pihak berkuasa telah menjadikan ia sebagai lokasi pelancongan.
Meskipun gunung terendah di dunia, namun ia tetap menjadi simbol kebanggaan dan tarikan utama bagi pengunjung yang ingin melihat keunikan geografi ini.
Disebabkan itu, pihak berkuasa tempatan telah mewartakan undang-undang untuk melarang sebarang aktiviti penggalian dilakukan di sekitar lokasi itu, termasuk pembinaan bangunan.
Langkah itu bagi memastikan keselamatan dan kelestarian gunung itu.
Sumber: Liputan6